Dua detik besar berlaku dalam satu masa. Aidilfitri yang menjadi salah satu hari besar buat umat Islam dijadualkan serentak dengan permulaan Piala Dunia 2018. Apa yang menarik, terdapat pasukan yang akan berentap di Russia yang meraikan perayaan itu, iaitu Arab Saudi, Maghribi, Iran dan Mesir.
Skuad Arab Saudi yang dibarisi oleh kesemua pemain beragama Islam akan beraksi dalam perlawanan pembukaan pada malam kehadiran Aidilfitri. Bertemu Russia akan menjadi aksi pertama Arab Saudi di pentas Piala Dunia sejak 2006, tepat pada pengakhiran bulan Ramadan.
Satu kebetulan, kedua-dua Aidilfitri atau Piala Dunia sendiri boleh dikategorikan sebagai satu perkara yang menjadi kemenangan. Aidilfitri diraikan selepas semua Muslim berpuasa selama sebulan manakala Piala Dunia adalah detik yang dinantikan oleh penyokong-penyokong mereka sejak 2010 setelah The Green Falcons memenangi aksi kelayakan.
Sasaran tiga mata pasti sudah dibawa oleh kem kendalian Juan Antonio Pizzi untuk memberikan hadiah lebaran buat semua rakyat Arab Saudi atau peminat-peminat Osama Hawsawi dan rakan sepasukannya. Untuk menjadikannya satu realiti, mereka sudah mempersiapkan diri dalam tempoh yang lama.
Adel Ezzat, ketua Persekutuan Bolasepak Arab Saudi, telah memberikan kebenaran buat pemain-pemain untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan bagi menghadapi saingan Piala Dunia. Namun, jika ada pemain yang tetap menjalankan ibadah itu, ia tidak menjadi masalah kerana keputusan itu bukan kewajipan tetapi satu pilihan.
Maghribi, Iran dan Mesir
Selepas Arab Saudi menamatkan aksi bertemu Russia pada 14 Jun, Mesir, Maghribi dan Iran akan berentap pada keesokan harinya. Ini bererti jika Arab Saudi beraksi tepat pada hari terakhir Ramadan, maka Maghribi, Iran dan Mesir pula akan tampil dalam perlawanan pertama Piala Dunia 2018 pada 1 Syawal, hari raya Aidilfitri.
Apa yang menarik, kisah ketiga-tiga pasukan kebangsaan dari negara Islam ini hampir sama dengan Arab Saudi. Aksi pertama di Russia sendiri sudah menjadi satu kemenangan memandangkan mereka sudah lama tidak menyertai saingan paling berprestij ini.
Mesir layak ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 1990. Maghribi ke Piala Dunia selepas kali terakhir melayakkan diri pada 1998. Bagi Iran, mereka turut serta dalam Piala Dunia secara berturut-turut buat pertama kali. Iran dan Maghribi akan bertemu selepas satu jam aksi antara Mesir dan Uruguay ditamatkan.
Piala Dunia dan Aidilfitri, sebelum ini ia bertembung ketika Ramadan. Piala Dunia diibaratkan teman sahur atau berbuka puasa oleh beberapa negara yang rata-rata dihuni oleh penduduk beragama Islam yang setia mengikuti perintah sebelum tibanya Aidilfitri. Perayaan itu juga tidak diraikan serentak sewaktu Piala Dunia sedang berlangsung.
Namun, tahun 2018 menyaksikan detik bersejarah itu berlaku. Pastinya situasi ini menjadi sesuatu yang amat membanggakan buat negara-negara Islam yang menyertai Piala Dunia iaitu Arab Saudi, Maghribi, Iran dan Mesir.
Selamat bertugas wahai pemain-pemain The Green Falcons, The Pharaohs, The Lions of The Atlas, dan Team Melli. Lakukanlah yang terbaik agar hari kemenangan ini disambut dengan penuh kebanggaan.