Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Colombia di Piala Dunia 2018: Perubahan berisiko yang sedang dialami Los Cafeteros

Pasukan dengan jolokan Los Cafeteros ini mula meningkat sejak Piala Dunia 2014. Dibarisi pemain muda berbakat, Colombia ketika itu tampil tanpa Radamel Falcao tetapi masih melangkah sejauh sehingga suku akhir. Adakah ia menjadi petanda bahawa mereka akan mara lebih jauh bagi edisi 2018?

Sebelum berbicara tentang peluang, perbezaan dalam kem Colombia ketika ini perlu diketahui. Berlainan dengan skuad 2014 yang dipenuhi generasi emas, Colombia kini melalui proses perubahan. Beberapa pemain utama telah memasuki usia lebih 30 tahun dan beberapa pemain muda mula mempamerkan taring.

Perubahan paling jelas dilihat pada barisan bawah apabila Colombia membawa masuk dua bintang muda, Yerry Mina (23 tahun) dan Davinson Sánchez (21 tahun). Salah satu atau keduanya akan menggantikan gandingan bek tengah di Piala Dunia 2014, Cristián Zapata dan Mario Yepes. Zapata masih dibawa ke Russia, tetapi tatkala menurunnya prestasi di AC Milan, kemungkinan tahun ini adalah Piala Dunia terakhir Zapata.

Sementara itu di barisan tengah dan depan, Colombia akan bergantung kepada kelibat pemain seperti James Rodríguez, Juan Cuadrado, Carlos Bacca, dan kapten, Radamel Falcao. Daripada keempat-empat nama itu, James paling muda pada usia 26 tahun tatkala baki tiga lagi sudah berusia 30 tahun.

Jadi, Piala Dunia 2018 boleh dikatakan sebagai kesempatan terakhir buat sebahagian besar generasi emas 2014. Disebabkan itu, Jose Pekerman membawa elemen pembaharuan dalam pasukan agar mereka tetap bertenaga dan dahagakan kejayaan. Tindakan itu telah membawa kepada pengumuman pasukan yang inovatif.

Jangkaan formasi

Sukar untuk menjangkakan formasi yang diterapkan Colombia di Russia nanti kerana sepanjang aksi kelayakan dan persahabatan, Pekerman tidak kekal dengan satu corak permainan. Terdapat empat formasi yang digunakan iaitu 4-3-3, 4-2-3-1, 4-4-2 diamond serta 4-4-2 flat.

Kesemua formasi itu telah membolehkan mereka muncul selaku pasukan dengan benteng ketiga terbaik dalam saingan kelayakan zon CONMEBOL sambil hanya mencatat satu kekalahan. Namun, melihat kepada lawan Kumpulan H yang memiliki barisan depan yang dasyhat, kemungkinan Pekerman akan menggunakan formasi 4-2-3-1 untuk menguatkan barisan tengah bagi mengawal permainan.

James sebagai pemain nombor 10 mungkin akan menjadi titik utama serangan Colombia. Dia akan berada dekat dengan Falcao untuk memberikan lorongan atau bergerak secara terbuka bagi membantu dua sayap. Jika strategi ini buntu, Pekerman mampu menambahkan kekuatan dengan memasukkan Carlos Bacca untuk digandingkan dengan Falcao.

Kekuatan

Gandingan James – Falcao – Cuadrado akan menjadi tumpuan buat Colombia mencatat jaringan. Kombinasi tiga pemain ini sudah terbukti mampu menghadirkan keputusan positif, sama ada untuk penciptaan atau penyudah terakhir. Selain itu, mereka juga sudah berada pada usia yang matang.

Gandingan trio Colombia ini juga mempunyai misi tersendiri kerana mungkin di Russia nanti akan menjadi medan terakhir mereka beraksi bersama di Piala Dunia. Jadi, sudah pasti mereka akan cuba beraksi pada tahap maksimum untuk memberikan yang terbaik buat negaranya.

Kelemahan

Berbeza dengan barisan depan yang ampuh, benteng Colombia sangat menggusarkan, terutama gandingan bek tengah. Zapata pada tahun ini bukan Zapata yang dilihat empat tahun lalu dan dia akan berganding dengan pemain yang cetek pengalaman di peringkat antarabangsa seperti Yerry Mina atau Davinson Sanchez.

Sanchez dan Mina sememangnya mempunyai potensi tetapi mereka sudah pasti memerlukan individu berpengalaman sebagai gandingannya. Disebabkan itu Pekerman jarang menggandingkan mereka bersama, cuma apa yang malang adalah Zapata yang diamanahkan untuk menjadi contoh semakin menurun dalam prestasi.

Pemain Utama: James Rodriguez

Sudah tentu James Rodriguez dikatakan pemain terbaik Colombia ketika ini kerana kariernya yang cemerlang di peringkat kelab serta antarabangsa. Di Piala Dunia 2014, dia telah mencatat jaringan terbaik dan penjaring terbanyak sehingga membuatkan ramai terfikir, adakah dia akan mendapatkan gelaran individu lain di Piala Dunia 2018?

Peluang di Piala Dunia 2018

Colombia mempunyai potensi untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi untuk melangkah lebih jauh berbanding pusingan kedua dilihat agak sukar. Berbekalkan pasukan yang sedang melalui perubahan, muncul juara kumpulan sudah cukup untuk menjadi pencapaian yang baik dan berada di suku akhir adalah bonus.