Selepas membincangkan barisan pemain termuda yang akan beraksi di Piala Dunia 2018, kini kita akan beralih ke senarai pemain paling tua.
Dalam senarai pemain ini, terdapat seorang pemain yang memecahkan rekod paling tua dalam sejarah Piala Dunia.
Essam El-Hadary (Mesir)
Dalam usia yang mencecah 45 tahun, penjaga gol kebangsaan Mesir ini akan menjadi pemain tertua dalam sejarah Piala Dunia, memecahkan rekod yang dipegang bekas pemain Colombia, Faryd Mondragon, ketika Piala Dunia 2010 dengan umur 43 tahun. Ketika El Hadary memulakan karier professional 25 tahun lalu, Mohamed Salah baru berusia enam bulan! Ketika ini, pemain senior itu mashi dipercayai oleh kelab Arab Saudi, Al-Taawoun.
Rafael Marquez (Mexico)
Rafa Marquez, bekas tonggak pertahanan Barcelona sebelum Gerard Pique kini berusia 39 tahun. Namun, kemampuan membaca permainan membuatkannya masih diperlukan skuad Mexico. Marquez kini membarisi kelab ketika kecil, Atlas, yang berpengkalan di kota Guadalajara.
Sergey Ignashevich (Russia)
Bek yang berusia 39 tahun pada bulan depan ini baru sahaja kembali dari persaraannya bersama pasukan kebangsaan Russia. Pengendali pasukan, Stanislav Cherchesov, memerlukan pengalamannya yang telah mewakili Russia sejak Piala Eropah 2004. Walaupun mungkin dia hanya akan diletakkan di bangku simpanan tetapi tenaganya tetap akan diperlukan nanti.
Tim Cahill (Australia)
Peminat bola sepak tentunya akan mengingati pemain senior Australia ini ketika mewakili Everton. Dia telah mengumpul 105 penampilan bersama The Socceroos, Cahill juga mencatat 50 jaringan. Pemain berusia 38 tahun ini akan mengharungi Piala Dunia keempat dalam kariernya di Russia, sama seperti nama besar lain, Gianluigi Buffon dan Lionel Messi.
Jose Corona (Mexico)
Seorang lagi pemain dari Mexico. Penjaga gol Cruz Azul ini akan menjadi pemain simpanan buat Guillermo Ochoa di Piala Dunia 2018. Bagaimanapun, Corona adalah legenda di Liga Mexico dengan 500 penampilan di liga teratas negara Sombrero. Dia juga memenangi pingat emas Olimpik pada 2012 di London.
Felipe Baloy (Panama)
Kapten Panama ini sudah berusia 37 tahun. Dia akan memimpin pasukan yang dibarisi pemain yang bersemangat tinggi memandangkan ia penampilan pertama Panama di Piala Dunia. Baloy adalah kapten kedua tertua di Piala Dunia 2018 selepas Essam El-Hadary.
Blas Perez (Panama)
Seorang lagi pemain Panama dalam senarai ini. Walaupun telah berumur 37 tahun, Perez telah menyumbat 43 gol dalam 115 penampilan bersama pasukan negaranya. Bersama Luis Tejada yang berusia 36 tahun, dia adalah salah satu ancaman terbesar dalam skuad Panama.
.
Bruno Alves (Portugal)
Bek tengah Portugal ini penuh dengan pengalaman, hasil daripada 95 penampilan selama lebih satu dekad. Jika terus diturunkan, Alves akan mengharungi aksi ke-100 ketika Piala Dunia nanti. Ketika ini, dia masih lagi dipercayai untuk mengemudi barisan bawah Rangers FC dalam Liga Perdana Scotland.