Selepas dilihat tenggelam dan tidak memberikan sumbangan yang besar pada awal musim ini apabila sekadar menyumbat satu gol dalam 13 perlawanan Liga Super, pemain import Selangor, Evan Dimas mula menunjukkan kualitinya apabila menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut.
Pemain kebangsaan Indonesia itu menjaringkan gol kedua The Red Giants ketika membenam Kelantan 4-0 minggu lalu sebelum menjaringkan gol kemenangan pasukannya yang berakhir dengan keputusan 2-1 ketika bertemu PKNS FC baru-baru ini.
Namun, Evan tetap merendah diri sambil menegaskan kemenangan pasukannya adalah lebih penting berbanding pencapaian peribadi.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dengan pertolongan-Nya saya berjaya meneruskan rentak jaringan untuk dua perlawanan berturut-turut.
“Terima kasih kepada pegawai pasukan dan rakan sepasukan kerana tanpa bantuan dan kerjasama mereka, saya mungkin tidak dapat untuk menjaringkan gol.
“Yang penting bagi saya bukanlah gol tetapi menghadiahkan kemenangan kepada pasukan,” katanya kepada Berita Harian.
Kemenangan tersebut memberi tekanan kepada PKNS di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal apabila bakal bertemu dua kali pada aksi separuh akhir Piala FA pada 23 dan 30 Jun ini.
Prestasi Evan Dimas juga secara tidak langsung melonjakkan kedudukan Selangor yang sebelum ini berada dalam keadaan bahaya tetapi kini berada pada tangga ke-8 liga dengan 17 mata, sama banyak dengan PKNP FC dan Melaka United, hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.