Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Croatia di Piala Dunia 2018: Misi bubarkan rekod lama dengan skuad dipenuhi bintang

Skuad kebangsaan Croatia meraih debut yang memberi kesan besar di saingan Piala Dunia. Piala Dunia 1998 menjadi saingan pertama buat mereka sejak Yugoslavia dipecahkan dan ia diakhiri dengan kejayaan manis, menduduki tempat ketiga setelah menundukkan Belanda. Namun, sejak itu mereka tidak memiliki sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

Tidak mampu melepasi saingan peringkat kumpulan ketika edisi 2002, 2006 dan 2014, bahkan tidak layak ke pusingan akhir 2010 di Afrika Selatan. Berbekalkan skuad yang lebih berkemampuan, mereka juga tidak dapat menundukkan Portugal di pusingan kedua Piala Eropah 2016, dimana lawan itu akhirnya muncul selaku juara.

Untuk layak ke Piala Dunia 2018, mereka juga hampir menemui kegagalan. Croatia harus melalui saingan play-off setelah gagal menjuarai kumpulan yang dianggap mudah. Pengunduran Ante Cacic selaku pengurus dan ketibaan Zlatko Dalic sebagai pengendali baru cukup untuk memberikan mereka harapan. Kemenangan ke atas Ukraine di aksi terakhir kelayakan serta kemenangan meyakinkan ke atas Greece di play-off menjadi motivasi perjuangan awal Croatia di Piala Dunia 2018

Skuad Penuh

Dalic yang baru dilantik sebagai pengurus baru pada Oktober lalu sudah mengumumkan senarai 23 pemain yang pada mulanya berjumlah 32. Antara nama-nama yang yang beraksi di Rusia adalah Mateo Kovacic, Luka Modric, Ivan Rakitic, Ivan Perisic, Mario Mandzukic dan juga Dejan Lovren.

Kekuatan

Barisan tengah pastinya menjadi kekuatan utama Croatia. Luka Modric dan Ivan Rakitic, dua pemain tengah terbaik dari LaLiga sudah tentu menjadi pertaruhan Dalic. Jangan lupa bahawa mereka masih memiliki Marcelo Brozovic yang menikmati saingan hebat bersama Inter Milan pada musim ini, serta Milan Badelj yang menjadi tunjang utama. Selain itu, rakan sepasukan Modric di Real Madrid, Mateo Kovacic, juga tidak boleh dipandang rendah. Dia mampu menjadi pilihan lain buat Dalic melakukan segala perancangan.

Kelemahan

Pertahanan bukanlah masalah besar buat pasukan dengan jolokan Vatreni ini. Ketika saingan kelayakan, mereka mencatat rekod yang baik apabila muncul salah satu pasukan terbaik di Eropah setelah hanya dibolosi lima gol termasuk aksi play-off. Justeru, ia tidak menjadi masalah.

Memiliki ramai barisan bintang tampak tidak menjamin aksi terbaik mereka, terutamanya di bahagian depan. Sangat mengejutkan apabila mereka tewas dengan jumlah gol berbanding Iceland tatkala mereka dibarisi pemain tengah kreatif serta jentera serangan yang mantap. Mereka memiliki Mario Mandzukic, Nikola Kalinic, Ivan Perisic dan Andrej Kramaric yang menyumbat banyak gol bersama kelab masing-masing.

Pemain utama: Luka Modric

Pada usia yang tidak muda, pengalaman serta kemampuan Modric sebagai perancang akan kembali diharapkan Croatia di Piala Dunia 2018. Ketika kelayakan, bekas tonggak Tottenham Hotspur ini menjadi pemain dengan catatan bantuan jaringan terbaik buat pasukannya. Selain itu, dia juga kerap menjaringkan gold an ia terbukti sewaktu bertemu Greece di aksi play-off.

Jangkaan formasi

Formai 4-2-3-1 akan digunakan Dalic untuk melepasi saingan peringkat kumpulan. Penjaga gol AS Monaco, Danijel Subasic, akan menjadi penjaga gol utama sambil Dejan Lovren dan Domagoj mengepalai benteng tengah pasukan sambil diapit di kiri dan kanan oleh Sime Vrsaljko serta Ivan Strinic.

Bahagian tengah lebih banyak pilihan diberikan kepada Dalic, namun kemungkinan besar di akan menggunakan Badelj dan Rakitic sebagai pemain tengah, sementara Modric bertindak selaku tengah menyerang. Brozovic mampu dijadikan pilihan kedua untuk posisi Badelj. Kovacic pula bersedia untuk tempat Modric jika Dalic memilih untuk meletakkan Modric bersama Rakitic atau jika Rakitic dan Brozovic diletakkan lebih terbuka.

Barisan depan juga tidak kurang hebatnya. Mandzukic dan Perisic akan mengisi kedudukan di bahagian sayap manakala Kalinic akan bertindak sebagai penyerang utama. Jika Kalinic dikeluarkan, Dalic boleh menggunakan khidmat Kramaric yang telah menyumbat 13 gol buat Hoffenheim di Bundesliga pada musim ini.

Peluang di Piala Dunia

Croatia adalah pasukan kedua berpeluang cerah untuk ke pusingan kedua selepas Argentina, namun mereka juga tidak boleh memandang ringan cabaran pasukan lawan. Nigeria mampu melakar kejutan dan Iceland sudah membuktikannya ketika aksi kelayakan zon Eropah, menamatkan kedudukan di atas Croatia. Jika mereka beraksi secara tersusun, tidak mustahil untuk Vatreni melangkah ke pusingan kedua.