Beraksi di Piala Dunia, setiap pasukan bukan sahaja memerlukan seorang pemain yang mampu menjaringkan gol, tetapi juga seorang penjaga gol yang boleh diharap dan memberi keyakinan kepada pasukannya.
Sepanyol ada David De Gea, Belgium dengan Thibaut Courtois, Jerman ada Manuel Neuer dan Brazil dengan Allison. Berbeza dengan England yang selepas David Seaman bergelut mencari penjaga gol yang berkaliber. David James, Paul Robinson, Joe Hart dan ramai lagi telah dicuba.
Kini giliran pemain seperti Nick Pope, Jordan Pickford dan Jack Butland untuk membuktikan merek layak menyarung jersi nombor 1 England. Selepas membuat pertimbangan, nampaknya ketua jurulatih England, Gareth Southgate telah membuat keputusan untuk memilih Jordan Pickford sebagai penjaga gol utama England.
Southgate memberi bayangan tersebut selepas memilih Pickford dalam perlawanan bertemu Nigeria di Stadium Wembley semalam.
“Ada sesuatu yang ingin dibuktikan dengan pemilihan Pickford. Dia membuat keputusan yang tepat biarpun jarang diuji (ketika perlawanan).”
Pickford mencuri perhatian peminat England selepas menunjukkan aksi cemerlang ketika beraksi bersama Sunderland musim lalu. Selepas Sunderland tersingkir, Everton pantas menyambar penjaga gol berusia 24 tahun itu. Biarpun tidak memulakan musim dengan baik, dia bangkit untuk membantu Everton menduduki tangga ke-8 liga.
Mampukah Pickford menyelesaikan masalah penjaga gol England yang telah lama menghantui mereka? Atau dia bakal menyertai Joe Hart, Paul Robinson dan ramai lagi yang menjadi bahan jenaka penyokong England?