Luar Negara Eropah

Berita baik buat penyokong Liverpool, Nabil Fekir hampir pasti ke Anfield

Berita baik buat penyokong Liverpool kerana Nabil Fekir telah mengambil keputusan yang besar dalam kariernya.

Selepas Liverpool berjaya menandatangani pemain Monaco, Fabinho senyap-senyap tanpa pengetahuan kelab lain, kali ini pasukan itu sekali lagi akan cuba melakukan perkara yang sama.

Lagi-lagi apabila seorang wartawan Perancis, Romain Collet-Gaudin mendakwa ejen Fekir iaitu Jean-Pierre Bernes akan tiba di Liverpool pada hari Ahad untuk menyelesaikan kontrak bagi dua belah pihak.

Collet-Gaudin yang merupakan wartawan untuk Eurosport France dan Canal Plus menganggap Fekir akan diperkenalkan sebagai pemain Liverpool sebaik sahaja semuanya kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan kontrak yang ditawarkan.

“Fekir bersama ejennya Jean-Pierre Bernes akan berada di Liverpool hari Ahad ini untuk menyiapkan terma-terma terakhir perpindahan. Jika semuanya berjalan lancar, ujian kesihatan dalam bayangan!” katanya menerusi Twitter peribadinya.

Fekir telah dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield sepanjang musim panas ini selepas prestasinya di Lyon berada di luar jangkaan apabila menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan malah terpilih sebagai salah seorang pemain dalam pasukan terbaik Ligue 1 musim ini.

Jurgen Klopp sememangnya berminat untuk mendapatkan Fekir memandangkan Liverpool ketandusan pemain tengah kelas dunia selepas Coutinho berpindah ke Barcelona pada bulan Januari dengan nilai sebanyak 142 juta pound.

Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas seboleh-bolehnya mahu Fekir kekal buat masa ini supaya nilainya meningkat selepas beraksi dalam Piala Dunia 2018 di Rusia.