Malaysia Liga Super Malaysia

Ramadhan akhirnya menjelma di Kedah

Selepas 13 hari berpuasa, akhirnya Ramadhan tiba di Kedah.

Tapi ini bukanlah bermaksud penduduk Kedah berpuasa lebih lambat berbanding rakyat negeri lain di Malaysia, tetapi Ramadhan ini adalah seorang pemain bolasepak.

Bekas penjaga gol Kelantan, Ramadhan Abdul Hamid hari ini secara rasmi diumumkan menyertai skuad Hijau Kuning menjelang tarikh tamat jendela perpindahan kedua musim ini pada 3 Jun nanti.

Berita tersebut diumumkan menerusi laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Kedah.

Turut diumumkan bahawa Ramadhan akan menyarung jersi nombor 60 Kedah bagi saingan Liga Super musim ini.

Pemain berusia 24 tahun ini merupakan penjaga gol kedua yang meninggalkan skuad Kelantan selepas Khairul Fahmi Che Mat menyertai Melaka United juga pada jendela perpindahan ini.

Ramadhan sebelum ini turut dikaitkan dengan pasukan Kuala Lumpur.

Kini Ramadhan pastinya diharap akan dapat memberi saingan kepada penjaga gol sedia ada Kedah, Ifwat Akmal dan Mohd Asri Muhammad.
Kedah kini berada di tangga kelima Liga Super selepas memungut 21 mata daripada 12 perlawanan.

Perlawanan seterusnya bagi Kedah adalah menentang Melaka United pada hari Jumaat ini di Stadium Darul Aman.