Berita Asia Tenggara

Ekoran kecederaan Salah, peminat Liverpool di Indonesia mahu anjurkan protes di hadapan kedutaan Sepanyol

Siapa sangka impak Mohamed Salah boleh menjangkaui sehingga ke negara lain?

Insiden di antara pemain Real Madrid, Sergio Ramos dan Mohamed Salah telah menyebabkan pemain Liverpool itu mengalami kecederaan bahu ketika beraksi di perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Berang dengan apa yang terjadi, satu protes akan dilakukan oleh peminat pemain berkenaan di Indonesia. Mereka dikatakan akan berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Sepanyol di Jakarta bagi menyuarakan kemarahan mereka.

Protes berkenaan dikhabarkan akan diadakan pada hari Khamis (31 Mei 2018).

Berita mengenai himpunan ini telah dirancang oleh seorang peminat Liverpool, Mohamad Dendi Budiman. Di antara tuntutan yang akan diminta pada hari Khamis ini adalah untuk memastikan Sergio Ramos dihukum dan menarik balik kemenangan Liga Juara-Juara Real Madrid.

Menurut Dendi seperti dilaporkan Tribunnews, dia menjangka sekurang-kurangnya 500 orang akan turun menyertai himpunan tersebut.

Sebelum ini, seorang peguam Mesir mahu memfailkan tuntutan 1 juta Euro ke atas Sergio Ramos kerana mencederakan Mohamed Salah.

Siapa kata bolasepak itu sekadar 22 orang menyepak sebiji bola?