Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Iran di Piala Dunia 2018: Peluang mencipta kejayaan tanpa sebarang kemelut politik

Sepanjang penyertaan Iran di Piala Dunia, mereka sering diwarnai dengan kemelut politik. Bagaimanapun, Piala Dunia 2018 menjadi medan buat ‘Team Melli’ membuktikan mereka mampu bersaing di atas padang.

Iran pertama kali ke Piala Dunia pada tahun 1978. Namun, selepas revolusi di Negara mereka yang telah mengubah banyak aspek politik, skuad kebangsaan mereka tampak seperti ‘tertidur’. Mereka tampil semula di Piala Dunia pada 1998. Kemudian, masalah politik kembali menghantui mereka.

Ketika Piala Dunia di Perancis, Iran bertemu Amerika Syarikat, ‘musuh’ besar mereka di dalam dunia politik. Aksi itu berjalan dengan tegang tetapi tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Sejak dikendalikan oleh Carlos Queiroz, Iran dilihat ingin mengubah label ‘pasukan yang sering dipengaruhi masalah politik’. Fokus bekas pengendali Rael Madrid itu hanyalah untuk mendapatkan prestasi terbaik. Dia Berjaya membawa Team Melli ke Piala Dunia dua kali berturut-turut sejak 2014 di Brazil.

Bagaimanapun, baru-baru ini mereka sekali lagi terkait dengan drama politik. Dua pemain Iran yang pernah beraksi bersama kelab Greece, Panionios, iaitu Masoud Shojaei dan Ehsan Hajsafi, disekat daripada mewakili skuad kebangsaan. Mereka dikenakan tindakan kerana telah melanggar larangan untuk tampil dalam perlawanan yang melibatkan pemain dari Israel ketika bertemu Maccabi Tel Aviv.

Queiroz tetap tidak mahu mengambil perhatian terhadap perkara itu. Kedua pemain tersebut kembali dipanggil untuk mengisi barisan 23 pemain untuk ke Russia. Sudah tiba masanya untuk Iran membuktikan bahawa mereka tidak hanya berpaksikan masalah politik.

Jangkaan formasi

Sejak zaman Ali Daei dan Mehdi Mahdavikia, Iran sering mempunyai pemain yang beraksi di Eropah. Kali ini, mereka mempertaruhkan pemain sayap lincah yang menjadi pencetak jaringan terbanyak Liga Eredivisie Belanda, Alireza Jahanbakhsh.

Apa yang menarik, Jahanbakhsh bukan penyerang tulen. Dia akan bergandingan dengan penyerang hebat di Belanda, Rez Ghoochannejhad. Queiroz dilihat lebih gemar menjadikan 4-3-3 kepada 4-3-1-2, bergantung kepada lawan yang akan dihadapi.

Pemain utama: Alireza Jahanbakhsh

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, Iran memiliki keampuhan barisan depan menerusi Alireza Jahanbakhsh. Baru-baru ini, dia menjadi pemain iran pertama yang muncul selaku penjaring terbanyak liga besar Eropah. 21 gol telah dikutip untuk AZ Alkmaar, sekaligus membuktikan kegarangannya di depan gol sehingga rakyat Iran mengharapkan sesuatu yang lebih hebat daripada pemain ini di Piala Dunia 2018 nanti.

Kekuatan

Dalam tujuh tahun terakhir, Queiroz telah mencipta sistem yang bagus dalam skuad kebangsaan Iran. Bekas pembantu Sir Alex Ferguson di Manchester United ini memimpin Team Melli tampil berturutan di Piala Dunia. Iran juga memiliki pilihan kukuh di barisan depan termasuk Alireza Jahanbakhsh, individu dari Iran yang pertama menjadi penjaring terbanyak di liga utama Eropah dengan kutipan 21 gol bersama AZ Alkmaar.

Kelemahan

Sejak mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018, Iran masih belum diuji dengan pasukan yang ampuh. Satu-satunya pesaing Piala Dunia yang mereka telah temui adalah Russia dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-1. Lawan lain seperti Tunisia, Togo sehingga Uzbekistan, termasuk dua aksi pemanas badan bertemu Turki dan Lithuaia sudah pasti tidak memberikan gambaran sebenar lawan di Russia nanti. Lebih-lebih lagi, Team Melli akan berdepan Maghribi serta dua gergasi Eropah, Sepanyol dan Portugal.

Peluang

Sejujurnya, peluang Iran untuk ke Kumpulan B agak sukar. Selain daripada harus melepasi halangan dua pasukan besar, Sepanyol dan Portugal, Team Melli  juga perlu mendapatkan kemenangan ke atas wakil Afrika, Maghribi. Satu keajaiban sekiranya Iran mampu melayakkan diri ke pusingan kedua buat pertama kali.