Sekali lagi rekod liga Thailand dipecahkan.
Pemain Buriram United, Suphanat Mueanta telah menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol di Liga Thailand dalam perlawanan menentang Air Force Central FC pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, dia telah memecahkan rekod menjadi pemain termuda beraksi di Liga Thailand ketika membuat penampilan dalam perlawanan menentang Nakhonratchasima Mazda FC pada 25 April lalu. Ketika itu dia berusia 15 tahun, 8 bulan dan 22 hari.
Dalam perlawanan menentang Air Force Central, Suphanat berusia 15 tahun, 9 bulan dan 25 hari. Dia membuat penampilan sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0 pasukannya. Suphanat menjaringkan gol pada minit ke 66 dan 84.
Agak menakjubkan melihat pemain berusia 15 tahun beraksi di liga utama Thailand bersama kelab yang sedang merebut kejuaraan. Bukan itu sahaja, dia juga diberi kepercayaan dan juga menjaringkan gol.
Adakah kita akan dapat menyaksikan pemain berusia 15 tahun Malaysia diberi kepercayaan yang sama oleh pasukan seperti JDT, Perak dan Pahang? Jangan kata Liga Super, mungkin kelab Liga Premier dan Piala FAM pun sukar untuk memberi peluang kepada pemain berusia 15 tahun.
Buriram United kini mendahului Liga Thailand dengan 41 mata, dua mata di depan pencabar utama mereka Bangkok United selepas 17 perlawanan.