Luar Negara Piala Dunia 2018

Jersi Piala Dunia Nigeria terima 3 juta tempahan

Jersi bukan semata-mata pakaian yang dipakai oleh pemain ketika beraksi di atas padang. Kini, jersi juga menjadi fesyen yang menjadi ikutan dan kegemaran terutamanya di kalangan anak muda.

Antara yang menjadi kegemaran pencinta fesyen, pastilah rekaan yang unik dan retro.

Mungkin sebab itulah, jersi terbaru Nigeria menjadi kegilaan peminat bolasepak dan fesyen menjelang Piala Dunia 2018 di Russia nanti. Jersi Nigeria nampaknya mengatasi populariti bukan sahaja jersi-jersi negara yang bertanding nanti, tetapi juga kelab-kelab terkenal seperti Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich.

Menjelang Piala Dunia 2018, jersi Nigeria telah menerima pra-tempahan sebanyak 3 juta helai, memecahkan rekod bukan sahaja untuk pasukan Afrika, tetapi juga kelab-kelab besar di Eropah.

Berita ini diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Nigeria (NFF), yang menyatakan jumlah tersebut diumumkan oleh syarikat pengeluar jersi mereka, Nike, dalam satu mesyuarat di Amsterdam.

Jersi terbaru Nigeria ini sebenarnya menggunakan rekaan retro yang mengambil inspirasi daripada skuad Nigeria yang memenangi pingat emas Olimpik dan juga ketika mereka kali pertama membuat penampilan di Piala Dunia pada tahun 1994.

Jersi terbaru Nigeria ini akan mula dijual pada 29 Mei nanti.