Malaysia Liga Super Malaysia

Jangan lepaskan gol mudah! – Jurulatih Kelantan beri amaran kepada Cassio

Ketua Jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim memberi amaran kepada pemain import pertahanannya, Cassio Fransisco De Jesus supaya tidak mengulangi kesilapan sama ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam ini.

Katanya, Cassio sudah terlalu banyak kesilapan terutamanya ketika kekalahan teruk 5-1 di tangan Kuala Lumpur, Selasa yang lalu.

“Dia melepaskan tiga gol mudah kepada pihak lawan. Kesilapan itu ternyata menjejaskan rentak pasukan sehingga tamat perlawanan.

“Ini bukan kesilapan jurulatih tapi kesilapan individu. Jadi Cassio harus bertanggungjawab terhadap kekalahan itu.

“Saya sudah bercakap dengannya mengenai perkara itu dan dia mengakui gol yang bolos ketika menentang PKNP, JDT, Negeri Sembilan dan KL semuanya berpunca daripada kesilapan yang dilakukannya.

“Saya terpaksa turunkan Cassio. Saya tiada pemain gantian lain sekiranya Cassio tidak diturunkan,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, Kelantan memerlukan pemain import baharu kerana sehingga kini pasukan itu hanya diperkuatkan oleh Cassio dan Alaeddine Bouslimi sahaja ketika ini.

“Ketiadaan pemain import juga sedikit sebanyak mempengaruhi corak persembahan pasukan. Kita hanya ada dua pemain import setakat ini dan itu tidak mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mahu beliau bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi Kelantan, Fajr memilih untuk tidak memikirkannya.

“Saya hanya fokus pada tugas saya dan enggan ambil pusing dengan apa orang lain kata. Namun, saya tetap hormati pandangan mereka,” katanya.