Asia Tenggara

Bekas jurulatih UiTM F.C beri saranan kepada skuad bawah 19 tahun Indonesia

Pasukan-pasukan dari Asia kini sudah mula merancang latihan pusat dan perlawanan persahabatan menjelang Piala AFC Bawah 19 tahun yang akan berlangsung di Indonesia pada bulan Oktober nanti.

Tuan rumah, Indonesia pastinya sudah mula membuat perancangan terbaik untuk memastikan skuad muda mereka akan berjaya menunjukkan aksi terbaik dalam kejohanan tersebut.

Bekas ketua jurulatih UiTM F.C, Raja Isa Raja Akram Syah, merupakan antara jurulatih berasal dari Malaysia yang cukup dikenali di Indonesia kerana telah mengendalikan banyak kelab di negara berkenaan.

Menurut Raja Isa, skuad muda Indonesia mempunyai peluang untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kejohanan berkenaan.

Bercakap kepada media Indonesia, Raja Isa turut menyatakan skuad bawah 19 tahun Indonesia kali ini cukup berbeza.

“ Pasukan bawah 19 tahun kali ini agak berbeza berbanding era Evan Dimas dan rakan-rakannya. Majoriti pemain sudah mendapat tempat untuk beraksi bersama pasukan masing-masing.”

Selain itu, Raja Isa juga memberi saranan kepada ketua jurulatih bawah 19 tahun Indonesia, Indra Sjafri untuk tidak selalu mengadakan latihan terbuka.

“Sebaiknya, persiapan skuad bawah 19 tahun ini jangan terlalu didedahkan kerana pihak lawan pasti sedang mengkaji perkembangan skuad Indonesia.”