Nampaknya penglibatan pasukan dalam kancah Piala AFC dan meremehkan liga sendiri mula menarik perhatian.
Terbaru, ketua jurulatih Persija Jakarta, Stefano ‘Teco’ Cugurra telah dikecam kerana dilihat mementingkan perlawanan Piala AFC berbanding perlawanan Liga 1 menentang Madura United semalam.
Dalam perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu, Persija yang menurunkan ramai pemain simpanan tewas 0-2 kepada Madura United. Hanya dua orang pemain utama yang berada dalam kesebelasan utama iaitu Ismed Sofyan dan Novri Setiawan.
Perkara ini menimbulkan rasa marah daripada Madura United yang merasakan Persija memandang rendah mereka. Namun, Stefano yang terkenal dengan julukan Teco mempunyai alasan tersendiri kenapa dia menurunkan barisan pemain simpanan untuk perlawanan tersebut.
Dalam satu laporan Indosport, Teco menyatakan antara sebab pemain simpanan dimainkan adalah kerana ramai pemain utama mengalami kecederaan.
“Kami tidak memandang rendah, kami menghormati Madura, kami tahu Madura mempunyai pemain berkualiti dan berkerja keras di dalam perlawanan. Tetapi kami mempunyai ramai pemain yang tercedera dan kami tidak boleh menurunkan pemain yang cedera, oleh kerana itu kami turunkan pemain yang lain.”
Namun Teco juga tidak menafikan beberapa pemain direhatkan untuk perlawanan menentang Home United di tempat sendiri pada hari Selasa nanti.
“Pemain sudah berkerja keras dan kita menghormati Madura. Tetapi kami sekarang perlu fokus bermain menentang Home United dan ada dua hari untuk latihan. Sudah tentu kami mementingkan Piala AFC kerana ianya lebih penting di pertandingan tersebut di mana kami bukan membawa nama kelab sahaja, tetapi Indonesia.”