Rombakan dalam pasukan Kelantan masih diteruskan. Selepas mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Kuala Lumpur pada minggu lalu, Kelantan tewas kepada PKNP 1-2 di laman sendiri.
Biarpun pemain-pemain muda Kelantan menunjukkan aksi cemerlang sebelum ini, namun ketiadaan pemain import begitu dirasai terutamanya di bahagian serangan.
Khabar terbaru menurut Fox Sports Asia, Kelantan dikatakan bakal menggantikan penyerang mereka, Mohamad Ghaddar dengan pemain baru dari Syria, Omar Khrbin. Omar pernah beraksi dengan kelab Arab Saudi Al-Hilal selain daripada beraksi di liga Emiriah Arab Bersatu dan liga bolasepak Iraq.
Rekod jaringan Omar memang cukup hebat dan pernah memenangi anugerah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Asia serta pemain terbaik Asia pada tahun lalu.
Dia juga mempunyai rekod yang baik bersama Syria apabila menjaringkan 16 gol daripada 36 perlawanan untuk skuad kebangsaan Syria.
Namun begitu, mampukah Omar memulihkan keadaan skuad Kelantan dan membantu mereka kekal di Liga Super?
Setakat ini, Kelantan hanya menggunakan seorang pemain import, Cassio Jesus dalam kesebelasan utama. Sebelum ini mereka telah menggugurkan Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes.
Kini mereka dikhabarkan akan melepaskan Mohamad Ghaddar, Do Dong Hyun dan Morgaro Gomis. Selain itu, beberapa pemain tempatan seperti Amiridzwan Taj, Badhri Radzi dan Veenod juga akan turut dilepaskan.
Kelantan kini berada di tangga terbawah Liga Super dengan krisis kewangan memaksa mereka melepaskan beberapa pemain utama dan menggunakan khidmat pemain muda. Antara pemain utama yang telah meninggalkan Kelantan adalah Khairul Fahmi Che Mat dan Norfarhan Mohamad.