Santai Luar Negara

11 pemain yang harus diselamatkan daripada penurunan liga di Eropah

Liga-liga utama Eropah tidak lama lagi akan melabuhkan tirai dan pasukan yang bakal diturunkan ke liga bawahan semakin jelas. Namun, apa yang menarik adalah beberapa pasukan yang sudah dan bakal diturunkan memiliki kelompok pemain yang sangat merugikan jika beraksi di divisyen dua.

Berbicara mengenai situasi itu, berikut adalah 11 pemain yang disenaraikan Football Tribe yang perlu diselamatkan, atas sebab kualiti dan populariti dimiliki mereka:

Penjaga gol: Lukasz Fabianski

Swansea City masih mempunyai baki dua perlawanan tetapi jika mereka gagal melakukannya, penjaga gol ini dilihat bakal meninggalkan The Swans. Fabianski adalah penjaga gol yang penuh pengalaman di Liga Perdana Inggeris, apabila mencatat 126 aksi halangan daripada 36 perlawanan.

Pertahanan: Jonas Hector

Salah satu kisah pelik di Bundesliga pada musim ini. Jonas Hector adalah pemain bek kiri utama skuad Jerman, namun hanya beraksi dengan pasukan kerdil seperti FC Koln yang berada di dasar liga dan sah diturunkan ke liga bawahan. Walaupun sudah menyatakan kesetiaan kepada kelab, adakah Hector tidak akan termakan dengan tawaran-tawaran daripada kelab-kelab besar?

Pertahanan: Johnny Evans

Sempat dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City dan Arsenal tetapi Johnny Evans masih menyarung jersi West Bromwich Albion (WBA) dan berjuang untuk keluar dari zon penyingkiran. Tentunya menarik untuk menantikan adakah laluan positif West Brom ketika ini mampu menyelamatkan mereka serta karier Evans.

Pertahanan: Ryan Shawcross

Pada Ogos 2017, dia menandatangani kontrak selama empat tahun tetapi melihat kepada penurunan liga buat Stoke City, Shawcross dilihat tidak akan memenuhi kontraknya itu. Berbekalkan kualiti dimiliki, bekas bek skuad kebangsaan England ini pasti akan menarik perhatian banyak kelab di jendela perpindahan.

Sayap kiri: Alessio Cerci

Walaupun mengalami penurunan prestasi dalam beberapa musim terakhir, kualiti Cerci terlalu hebat untuk beraksi di Serie B. Musim depan, pemain yang sempat mewakili Torino ini mungkin akan meninggalkan Verona untuk menyertai pasukan lain dari Serie A, Liga MLS di Amerika Syarikat, Liga Super China atau ke Timur Tengah.

Tengah: Darren Fletcher

Malang nasib Fletcher. Meninggalkan West Brom untuk ke Stoke, dia bersama pasukan terperosok ke dasar liga tatkala West Brom juga turut tersingkir dari EPL malam semalam . Walaupun sudah berusia, kualiti yang dimiliki Fletcher sangat bagus dan mampu menjadi pembelian murah berkualiti buat pasukan pertengahan di Liga Perdana Inggeris.

Tengah: Alberto Aquilani

Sempat beraksi bersama AS Roma dan mewakili skuad Azzurri, karier Aquilani kini menjunam. Dia tidak mampu menyelamatkan Las Palmas daripada diturunkan liga tetapi berbekalkan populariti, Aquilani mampu untuk menarik minat pasukan liga teratas untuk mengelakkan diri daripada beraksi di divisyen dua.

Sayap kanan: Xherdan Shaqiri

Shaqiri menjadi pemain yang paling dijangkakan akan menjadi rebutan di jendela perpindahan setelah Stoke tersingkir ke Liga Kejuaraan. Dia mungkin bukan lagi pemain yang beraksi di peringkat tertinggi tetapi kualitinya sangat rugi jika hanya beraksi di liga kedua. Walaupun mungkin bertindak selaku pemain simpanan, Shaqiri masih layak untuk beraksi di divisyen utama.

Penyerang: Salomon Rondon

Seorang lagi pemain WBA yang harus diselamatakan jika The Baggies terjerumus ke Liga Kejuaraan. Rondon adalah contoh penyerang tipikal di Liga Perdana Inggeris. Bertubuh tinggi dan besar serta gemar menggelecek satu lawan satu. Tujuh gol dan tiga bantuan jaringan yang dicatat sehingga kini cukup untuk menarik minat pasukan lain.

Penyerang: Roberto Inglese

Dua aksi berbaki dan Chievo hanya satu mata mengatasi Cagliari di slot terakhir ke Serie B. apabila musim ini menunjukkan Chievo gagal mempertahankan kedudukan di Serie A, Roberto Inglese mungkin menjadi pemain terlaris yang diburu pasukan lain. Sehingga kini, dia meraih 10 gol daripada 32 penampilan.

Penyerang: Lucas Perez

Satu situasi yang memberi dilemma buat Perez. Dia berpindah ke Deportivo La Coruna menerusi status pinjaman dari Arsenal tetapi selepas Super Depor diturunkan ke Divisyen Segunda, dia tentunya akan kembali ke Emirates. Namun, kelibatnya mungkin tidak diperlukan The Gunners kerana persaingan tinggi di barisan depan Arsenal.

Calon lain:

Gareth Barry (WBA)
Alen Halilovic (Las Palmas)
Adrian Gonzalez (Malaga)
Borja Baston (Malaga)
Adrian Lopez (Deportivo La Coruna)
Cheick Diabate (Benevento)