Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Dua kesilapan Helmi Eliza bantu JDT lebarkan jarak mata di carta liga

Pasukan Pahang telah diikat oleh pasukan Kedah dengan jaringan 2-2 dalam satu aksi Liga Super Malaysia di Kuantan pada malam tadi.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan Wan Zaharulnizam daripada luar kotak penalti. Pasukan Kedah kemudiannya menyamakan kedudukan apabila Sandro Mendonca menyudahkan satu gerakan serangan balas.

Pahang sekali lagi di depan apabila Safuan Baharudin melakukan satu rembatan selepas pertahanan Kedah gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti. Namun, Kedah sekali lagi menyamakan kedudukan apabila Sandro pantas bertindak terhadap bola muntah daripada tangkapan Helmi Eliza.

Berikut merupakan pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi:

Wan Zaharulnizam efektif dengan peranan penyerang kedua

Wan Zaharulnizam dalam perlawanan tadi diletakkan beraksi sebagai penyerang kedua kepada Patrick Cruz. Beliau efektif dalam keseluruhan perlawanan serta menjustifikasikan aksi beliau dengan menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut. Prestasi Wan Zaharulnizam bermakna Kogileswaran perlu bekerja dengan lebih keras jika dia mahu mengambil semula tempatnya dalam kesebelasan pertama. 

Helmi Eliza melakukan 2 kesilapan mudah

Secara keseluruhannya, Helmi Eliza mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan tadi. Namun, beliau melepaskan 2 gol yang agak mudah apabila gagal menangkap kemas bola untuk 2 gol tersebut. Insiden seperti ini tidak boleh berlaku jika Pahang mahu terus mencabar JDT di persada di Liga Super. Walau bagaimanapun, mungkin insiden ini mampu menjadi pemangkin kepada Helmi untuk menampilkan aksi yang lebih cemerlang dalam perlawanan akan datang. 

Kedah mengharapkan corak permainan serangan balas

Pasukan Kedah jelas mengharapkan corak permainan serangan balas untuk menembusi pertahanan pasukan Pahang. Ini dibuktikan apabila gol pertama pasukan Kedah dihasilkan menerusi satu serangan balas yang disudahkan oleh Sandro Mendonca. Taktik ini bijak kerana mereka sedar Pahang mempunyai lebih tekanan untuk meraih tiga mata dan mereka akan menyerang dengan lebih agresif, sekaligus membuka peluang dan ruang untuk Kedah melancarkan serangan balas. 

Sandro Mendonca cemerlang mengisi posisi penyerang

Sandro sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang di posisi penyerang apabila menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tadi. Dengan khabar angin pasukan Kedah dikaitkan dengan penyerang baharu, adalah menarik untuk menyaksikan di mana posisi Sandro selepas ini apabila tamatnya tempoh jendela perpindahan pertengahan musim kelak.

Pasukan Pahang gagal manfaatkan peluang menghambat pendahulu liga

Bermain di laman sendiri serta menentang lawan yang paling banyak dibolosi, ini merupakan peluang untuk pasukan Pahang terus menghambat pendahulu liga. Namun, sebaliknya yang berlaku apabila Pahang gagal meraih 3 mata penuh pada malam tadi serta membiarkan pasukan Johor melebarkan jarak kepada 6 mata dalam carta liga.