Malaysia Liga Super Malaysia

Analisis: Pesta gol di Kota Bharu, Gomo Pressing runtuhkan menara bertiga Kuala Lumpur

Kuala Lumpur bagaikan Manchester United nampaknya. Menang ke atas pasukan di kelompok teratas, tetapi tewas kepada pasukan bawahan. Skuad muda Fajr Ibrahim menunjukkan aksi bertenaga untuk menewaskan Kuala Lumpur 4-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Tiada langsung perasaan gentar yang ditunjukkan pemain-pemain muda The Red Warriors ini yang beraksi dengan hanya seorang pemain import.

Back 3 Kuala Lumpur tidak menjadi

Tanpa kelibat Guilherme De Paula, Kuala Lumpur kembali menggunakan formasi dan pemain yang sama seperti ketika perlawanan suku akhir kedua menentang Selangor. Formasi 3-5-2 yang digunakan ini boleh ditukar menjad 5-3-2 dengan Firdaus dan Syazwan Andik membantu pertahanan dan boleh menjadi 3-4-3 ketika menyerang dengan Indra Putra membantu Zaquan Adha dan Ashri Chuchu di bahagian serangan. Namun, formasi ini nampaknya hanya berguna untuk menahan serangan daripada pasukan yang menggunakan target man dan akan membuat hantaran tinggi. Diserang dengan kepantasan dan tekanan pantas oleh Kelantan, hampir kesemua pemain pertahanan Kuala Lumpur dilihat gagal menahan asakan.

Serangan pantas Kelantan hancurkan Kuala Lumpur

Kelantan menggunakan formasi 4-2-3-1 bagi perlawanan ini. Tiada kelibat Ghaddar untuk Kelantan, maka posisi penyerang tunggal diberikan kepada Shafiq Shaharudin. Dengan Nik Akif dan Danial Haqim beraksi sebagai pemain tengah bertahan, trio Imran Samso, Nik Azli dan Khairul Rizam dilihat lebih offensive. Dua pemain bek, Khairul Asyraf dan Azwan Aripin pula bebas untuk membantu serangan dengan Nik Akif dan Danial terus disiplin di bahagian tengah. Tanpa kelibat De Paula, mudah tugas Nik Shahrul dan Cassio.

Gomo Pressing sukar ditahan

Dengan barisan pemain muda, Kelantan mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan kepantasan. Tekanan hebat trio Imran Samso, Nik Azli dan Khairul Rizam membuatkan dua pemain tengah Kuala Lumpur, Irfan Zakaria dan Paulo Josue gagal mengawal permainan dan terpaksa lebih bertahan. Tekanan ini akhirnya memberikan gol kepada Kelantan apabila Nik Azli menjaringkan gol pembukaan. Gol kedua Kelantan pula menunjukkan betapa bersungguhnya pemain muda Kelantan dan tekanan yang diberikan kepada pemain Kuala Lumpur apabila kesilapan Solehin Mamat memberikan gol mudah kepada Shafiq Shaharudin.

Pertahanan lopong, serangan tiada idea

Kuala Lumpur membuat pertukaran seawal minit ke-32. Zhafri Yahya dan Azmeer Yusof dibawa masuk menggantikan Achmad Jufriyanto dan Syazwan Andik. Kemasukan Azmeer memberikan pertahanan di sebelah kiri Kuala Lumpur yang dilihat menjadi tumpuan Kelantan. Sementara Zhafri pula dimasukkan untuk membantu Irfan Zakaria, sekaligus menolak Paulo Josue untuk menjadi lebih menyerang dan membantu Indra, Zaquan dan Ashri. Apa yang mengecewakan untuk Kuala Lumpur adalah, selain daripada kesilapan mudah di bahagian pertahanan, bahagian serangan juga dilihat tidak ada idea sehinggakan Fikri Che Soh di gawang Kelantan langsung tidak tercabar,

Nik Akif bintang baru Kelantan

Pemain terbaik perlawanan ini boleh diberikan kepada Nik Akif. Bermain di bahagian tengah menentang Paulo Josue, Indra Putra dan Irfan Zakaria, pemain berusia 18 tahun ini cukup tenang. Dia bijak mengawal tempo permainan dan membuatkan Kuala Lumpur bermain mengikut rentak Kelantan. Pantas menutup ruang dan bijak mencari pemain serangan, hasil usaha Nik Akif diakhiri dengan jaringan menerusi rembatan yang cukup menakjubkan.