Pasukan kebangsaan Malaysia Bawah 16 Tahun mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2019 di Peru tahun hadapan.
Ini berdasarkan jangkaan pada majlis undian Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini yang meletakkan pasukan negara dalam balang satu bersama Jepun, Iran dan juara bertahan Iraq.
Malah, kebarangkalian untuk empat pasukan Asia Tenggara berada dalam kumpulan sama agak tinggi selepas Vietnam, Thailand dan Indonesia diletakkan dalam balang dua, tiga dan empat.
Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar tidak menolak kemungkinan tersebut dan menganggap ia sebagai peluang terbaik buat pasukan negara untuk menjulang nama negara di pentas antarabangsa.
“Kalau ikut balang undian itu, Malaysia akan berada dalam balang satu sebagai tuan rumah dengan Iran, Jepun dan Iraq. Ini bermakna kita dapat elak menentang Iraq dan Jepun.
“Tetapi tentangan yang sukar tetap ada, Korea Selatan, Korea Utara atau Australia. Sebab itu kita kena perbaiki tahap fokus masing-masing, sebab saingan peringkat domestik dan antarabangsa cukup berbeza dan kita akan dihukum jika melakukan kesilapan mudah.
“Namun, agak menarik jika Malaysia diundi sekumpulan dengan tiga pasukan serantau. Kemungkinan itu ada, kalau tak semua Asia Tenggara pun mungkin akan ada satu atau dua dalam kumpulan kita nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Sebanyak 16 pasukan negara yang akan bertanding dengan empat pasukan terbaik layak secara automatik ke Piala Dunia B-17.
Pasukan negara hampir melayakkan diri ke Piala Dunia empat tahun yang lalu namun nasib tidak menyebelahi jurulatih S. Balachandran ketika itu apabila tewas 2-1 kepada Australia pada perlawanan suku akhir.
Tambah Safirul, pasukan B-16 itu perlu mencapai sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
“Apa yang saya nampak selama empat tahun bersama pemain, pasukan mampu layak ke separuh akhir. Malah, tidak mustahil juga kita mampu masuk ke final dan muncul juara.
“Tapi kadangkala, kita tetap harapkan tuah. Berani saya katakan, tahap pemain kita sebenarnya dalam empat terbaik di Asia,” katanya.