Santai Luar Negara

Egyptian King: Tujuh perkara yang anda tidak tahu tentang Mohamed Salah

Mo Salah seorang pemain bola sepak berketurunan Arab Mesir yang kini bermain di Liverpool. Dibeli daripada AS Roma sebelum musim 2017/18 bermula dengan harga £37 juta, Mo Salah tidak menunggu lama untuk menunjukkan kehebatannya dengan menjaringkan 43 gol setakat ini pada musim ini, sekaligus menjadikannya pemain sebutan ramai peminat bola sepak dunia.

Malam semalam, dia sekali lagi memainkan peranan yang besar dalam membantu Liverpool menewaskan AS Roma 5-2 di Anfield. Dia menjaringkan dua gol, dan turut mencatat dua ‘assist’ menentang bekas pasukannya dalam pertembungan Liga Juara-Juara Eropah tersebut.

Berikut adalah 7 perkara yang mungkin anda tidak tahu mengenai Mo Salah:

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Begitulah kata pepatah melayu, begitu juga permulaan hidup Mohamed Salah. Sewaktu dahulu, beliau terpaksa berulang-alik dari rumah ke Kaherah selama 8 jam sehari. Ini dilakukannya setiap 5 hari seminggu, selama 4 tahun demi menjalani latihan bolasepak bersama skuad muda El Mokawloon

Anak emas Mesir

Pada 2014, masa depannya dalam bola sepak tampak samar apabila program pendidikan yang disertainya di luar negara ditarik. Dia perlu kembali ke Mesir untuk menyertai latihan ketenteraan selama setahun. Mengikut laporan, berlakunya campur tangan daripada Perdana Menteri dan Mo Salah dikecualikan daripada mengikuti latihan itu. Hasilnya, Mo Salah berjaya membawa skuad kebangsaan Mesir ke Piala Dunia 2018 Rusia, Jun nanti.

Berhati mulia

Umpama pelesit di atas padang, namun Mo Salah juga hebat di luar padang. Sebanyak 15 juta euro dibelanjakan beliau untuk membantu masalah kemiskinan di kampung halamannya Nagrig, Gharbia. Pelbagai bangunan sekolah dibina, barang keperluan disediakan, ambulans untuk hospital dan program amal untuk kanak-kanak telah dijalankan menggunakan wang itu.

Salah dan Si Perompak

Semasa beliau bermain di Iskandariah, rumah Mo Salah telah dimasuki oleh perompak. Beberapa hari kemudian, pihak polis berjaya menangkap perompak tersebut. Bapa Salah, membuat keputusan untuk membicarakan kes itu di mahkamah. Namun, Mo Salah memujuk ayahnya untuk menggugurkan kes tersebut. Selepas itu, beliau pergi menemui perompak tersebut dan memberikan wang untuk membantu kehidupannya serta membantu untuk mendapatkan pekerjaan.

Mempunyai rekod disiplin yang baik dalam Liga Perdana Inggeris

Mungkin ramai tidak sedar, sepanjang 31 perlawanan ini beliau tidak menerima sebarang kad kuning mahupun diarahkan keluar padang. Beliau hanya merekodkan 14 kesalahan setakat ini dalam musim 2017/18.

Jersi #74 di Fiorentina

Semasa dipinjamkan oleh Chelsea ke Fiorentina, Mo Salah telah memilih nombor 74 untuk jersinya. Namun, apakah disebalik pemilihan nombor tersebut? Mo Salah memilih nombor tersebut sebagai memperingati peristiwa rusuhan di Stadium Port Said dan mengorbankan seramai 74 orang dan ramai lagi yang cedera.

Bintang filem atau Bintang tinju?

Mo Salah merupakan peminat pelakon tersohor Mesir, iaitu, Khaled El Nabawy. Beliau telah banyak kali muncul berlakon bersama-sama pelakon dari Hollywood. Selain itu, beliau juga meminati Leonardo DiCaprio dan peninju tersohor seantero dunia, Muhammad Ali. Mungkinkah Mo Salah ingin menceburi bidang lakonan ataupun sukan tinju sesudah beliau bersara daripada bola sepak nanti? Sama-sama kita nantikan.