Mari bermula dengan beberapa fakta asas. Dalam musim pertamanya bersama Liverpool, Mohamed Salah telah mencatat 31 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris. Ia merupakan dua kali ganda daripada jumlah yang diraih dalam musim terakhir dan terbaiknya ketika bersama AS Roma, dimana dia mengutip 15 gol di Serie A. Jika melibatkan jaringan di pentas Eropah, Salah telah mengubah rekod 17 gol dalam 37 penampilan pada musim lalu kepada 38 gol selepas 42 kali beraksi pada musim 2017/18.
Melihat kepada perkembangan itu secara terperinci, kadar jaringannya dalam setiap perlawanan berubah daripada 0.46 kepada 0.9. Hasilnya, tindakan Liverpool mengeluarkan dana berjumlah 37.8 juta Pound pada musim panas lalu dilihat sebagai sesuatu yang amat berbaloi.
Apa yang cuba dirungkai adalah perkembangan individu yang menjadi sebab utama kepada ketajaman seseorang pemain untuk menjaringkan gol. Pengurus Belgium, Roberto Martinez, ada mengatakan bahawa: “Penyudahan itu… untuk berada dalam kedudukan yang tepat pada waktu yang tepat, kemudian melakukan tindakan tepat adalah perbezaan yang ada pada Salah berbanding sebelum ini. Saya rasa Jurgen Klopp berhak menerima pujian dalam mengenal pasti pemain yang masih belum berada dalam prestasi terhebat dalam karier dan menjadikan apa yang dimiliki Salah ketika ini.”
Salah juga yakin dengan perkembangan dirinya, memberitahu BBC pada Februari bahawa, “jika anda melihat saya sekarang dan lima tahun lalu, segalanya telah berubah daripada segi mental dan fizikal. Saya cuba untuk meningkatkan diri setiap hari. Saya sering meletakkan diri di bawah tekanan untuk terus berkembang. Saya juga memberikan segalanya dalam kehidupan kepada bola sepak, hanya memikirkannya. Itu apa yang saya fikirkan sepanjang masa.”
Untuk melihat seorang penyerang berkembang dengan pantas mendapatkan sentuhan penyudah dalam beberapa tahun kebelakangan ini agak tidak masuk akal. Pada usia 25 tahun, dia bukan prospek. Berbekalkan fizikal dan teknikal yang amat kurang, dia tampak sukar mengubah haluan ketika di Roma tetapi terdapat maklumat yang mempertahankan fakta itu apabila ketepatan percubaannya pada musim ini meningkat kepada 62 peratus, meningkat sebanyak Sembilan peratus berbanding musim lepas.
Malangnya, segala statistik itu hanya memberitahu kita apa yang berlaku, bukan bagaimana ia terjadi. Apa yang mungkin boleh mendorong kepada Salah muncul sebagai seorang penyerang yang konsisten adalah disebabkan Klopp. Ia tampak satu tekaan yang melampau tetapi ia mampu dibuktikan. Bukan sekadar latihan rembatan ketika sesi latihan tetapi taktikal pengendali dari Jerman itu yang telah menjadi faktor utama kepada peningkatan kadar jaringan Salah pada musim ini.
Bersama Roma, Salah bertindak selaku sayap kanan dalam empat jentera serangan pasukan. Empat pemain itu termasuk Edin Dzeko yang memainkan peranan sebagai penyerang utama di bahagian tengah sementara Radja Nainggolan sering melakukan larian tanpa penyerang Bosnia itu. Salah tetap berada di posisi sayap kanan bersama Liverpool, namun dia beraksi dalam sistem yang berbeza.
Gaya serangan yang diterapkan Klopp adalah tanpa penyerang tengah yang tulen. Salah tidak lagi perlu melakukan hantaran buat penyerang tunggal dan dia juga tidak perlu berada terlalu terbuka di bahagian tepi. Malah, dia hanya perlu melakukan larian di belakang Roberto Firmino, pemain yang bertindak selaku nombor 9 yang sering turun ke bawah berbanding melepasi benteng terakhir. Itu cara bagaimana pergerakan itu dihasilkan.
Salah berada lebih ke tengah dalam sistem serangan Liverpool berbanding bersama Roma. Dia kurang mencipta peluang – 1.78 setiap perlawanan berbanding 2.29 di Itali pada musim lepas – tetapi berpeluang menyudahkan peluang lebih tinggi. Lakaran peta mengenai pergerakannya menunjukkan Salah telah mengubah peranannya. Dalam penampilan terakhir bersama Roma ketika menentang Genoa, dia didapati lebih banyak berada di garisan tepi sebelah kanan atau berdekatan dengannya tetapi dalam aksi terbaru bersama Liverpool ketika bertemu Bournemouth, Salah dilihat lebih banyak berada di sebelah kanan yang lebih ke dalam.
Lakaran peta juga menunjukkan Salah kini kurang terlibat dalam kawasan sendiri dan lebih banyak berada di dalam kotak penalti lawan. Secara ringkas, taktikal klopp membolehkannya lebih fokus untuk berada bersama barisan serangan ketika menyerang. Ia menjelaskan mengapa kadar percubaannya dari dalam kotak penalti lebih tinggi dan muncul yang terbaik (59 peratus) berbanding percubaan dari luar kotak penalti (44 peratus). Dia lebih banyak menerima ruang untuk berada lebih dekat dengan gol bersama Liverpool berbanding ketika di Roma, sambil peningkatan ketepatan percubaan membuatkannya menjadi lebih klinikal.
Peningkatan Salah sejak menyertai Liverpool telah menonjolkan kepentingan konteks taktikal dalam mengenal pasti bakat, terutamanya dalam era bola sepak moden. Jumlah angka sahaja tidak boleh menjangkakan peluang individu ketika menyertai pasukan baru. Jadi, apabila sebuah kelab Liga Perdana Inggeris cuba mendapatkan “Salah yang seterusnya” ketika jendela perpindahan dibuka, mereka tidak boleh hanya melihat kepada pasukan, sebaliknya mengambil kira pasukan mana yang mereka wakili.
Oleh Blair Newman
(www.tifofootball.com)