Luar Negara Eropah

Analisis: Siapa lebih berpeluang meraih Scudetto, Juventus atau Napoli?

Persaingan merebut kejuaraan Serie A masih berterusan. Kedua-dua pasukan yang berpeluang untuk merebutnya, Juventus dan Napoli, bertemu hujung minggu lepas dalam satu perlawanan. Jika I Bianconeri menang, gelaran juara hampir pasti kembali ke kota Turin, begitu juga sekiranya berakhir seri. Bagaimanapun, jika Partenopei menang, kemungkinan mereka akan mengatasi Juventus sehingga saat akhir dan menjulang trofi pada penghujung musim.

Ternyata, situasi ketiga yang berlaku. Juventus terpaksa menerima kekalahan di depan penyokong sendiri selepas Kalidou Koulibaly menanduk masuk gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan, membuatkan peluang buat Napoli muncul juara terbuka luas. Disebabkan aksi minggu lepas, kedua-dua pasukan kini hanya dibezakan dengan satu mata sambil aksi berbaki empat perlawanan. Jadi, siapakah antara mereka yang lebih berpeluang?

Aksi getir menanti Juventus

Tekanan tentunya lebih terarah kepada Nuventus kerana mereka harus mendapatkan keputusan yang baik dan tidak boleh melepaskan sebarang mata dalam empat aksi terakhir jika tidak mahu dipintas Napoli. Namun, dalam empat perlawanan itu, terdapat dua aksi getir yang dihadapi oleh The Old Lady, iaitu menentang Inter Milan dan AS Roma di tempat lawan.

Inter menjadi lawan mereka pada minggu depan. I Nerazzurri ketika ini memegang rekod yang agak baik apabila beraksi di laman sendiri pada musim ini. Setakat ini, mereka baru sekali tewas sewaktu beraksi di Giuseppe Meazza, iaitu ketika menentang Udinese pada Disember lalu. Mereka meraih 11 kemenangan dan seri lima kali dalam 17 aksi di tempat sendiri.

Pertemuan pertama mereka pada musim ini berakhir dengan keputusan seri 0-0. Pada musim lalu, skuad La Beneamata menewaskan juara bertahan itu dengan keputusan 2-1 di laman sendiri, namun ia merupakan kemenangan pertama buat Inter di depan penyokong sendiri sejak 2010/2011.

Roma menjadi lawan paling sukar yang bakal dihadapi oleh I Bianconeri. Walaupun tidak sehebat Inter ketika di laman sendiri, kita tidak boleh lupakan bahawa I Giallorossi mencipta keajaiban pada musim ini menundukkan Barcelona di Stadium Olimpico.

Di Turin, mereka sememangnya mampu menjinakkan skuad kendalian Eusebio Di Francesco, namun jika melihat kepada rekod kedua-dua pasukan di Olimpico dalam beberapa tahun kebelakangan ini, The Old Lady dilihat agak bergelut untuk menewaskan skuad Ibu Kota itu. Daripada lima aksi terakhir, Juve hanya menang sekali, iaitu pada musim 2013/14, dimana mereka meraih tiga mata hasil jaringan Pablo Osvaldo pada minit ke-94.

Secara keseluruhan, Roma menang tiga kali, termasuk kemenangan mereka pada musim lalu dan seri sekali ketika berdepan Juventus di Olimpico. Selain memerhatikan rekod mereka dengan Roma, Massimiliano Allegri juga harus melihat kepada jadual perlawanan mereka. Tiga hari sebelum bertandang ke Roma, Juve harus melakukan perhitungan dengan AC Milan bagi aksi Coppa Italia yang berlangsung di Olimpico.

Pemburuan Scudetto ketiga Napoli

Kemenangan ke atas Juventus malam tadi bukan sekadar membuka kembali peluang Napoli untuk menjulang Scudetto, malah menjadi pembakar semangat untuk pemain-pemain mengejarnya. Maurizio Sarri harus memanfaatkan momentum yang ada untuk mendapatkan hasil sempurna dalam baki perlawanan terakhir. Berbanding dengan dengan Juve, jadual Partenopei tampak lebih santai.

Napoli akan menentang Torino dan Crotone di laman sendiri, sambil bertandang ke Fiorentina dan Sampdoria. Dalam pertemuan pertama dengan keempat-empat pasukan itu, hanya Fiorentina yang mampu menyekat mereka. Namun, perlu diingat bahawa selain Crotone, tiga pasukan yang menjadi lawan seterusnya itu sedang cuba untuk mendapatkan slot ke Liga Europa pada musim depan.

Sampdoria dan Fiorentina masing-masing memiliki mata yang sama, iaitu 51 mata sambil Torino berada di bawah kedua-pdua pasukan dengan 47 mata. Ketiga-tiga pasukan masih berpeluang memintas Atalanta yang ketika ini berada di tangga keenam dengan 55 mata.

Napoli lebih berpeluang

Jika membandingkan jadual perlawanan kedua-dua pasukan, Napoli tampak lebih berpeluang untuk muncul juara. The Old Lady yang dirundung malang kebelakangan ini termasuk tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah dan tewas di tangan Napoli, harus berhati-hati dalam setiap langkah. Lebih-lebih lagi mereka harus berdepan dengan Inter yang masih berpeluang merebut tempat ke Liga Juara-Juara dari Lazio dan Roma, serta berdepan skuad Serigala Ibu Kota yang masih logik untuk terjatuh ke tangga kelima liga.

Walaupun memiliki peluang yang lebih besar, usaha Napoli untuk mengejar akan sia-sia sekiranya Juventus memenangi kesemua baki aksi liga. Selain mengharapkan pasukannya berjaya, Napoli juga terpaksa mengharapkan Juve terkandas.