Selepas menyaksikan Revierderby di antara Schalke 04 menentang Borussia Dortmund pada minggu lalu, minggu ini aku kembali ke Malaysia untuk sekali lagi menyaksikan Klang Valley derby di antara Kuala Lumpur dan Selangor.
Perlawanan suku akhir kedua di antara Selangor dan Kuala Lumpur yang juga kali ketiga kedua-dua pasukan ini bertemu pada musim ini. Perlawanan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, tetapi kali ini Kuala Lumpur menjadi pasukan pelawat.
Berbeza dengan atmosfera ketika di Veltins Arena yang padat setiap kali ada perlawanan derby , Stadium Cheras dilihat agak kosong terutamanya di bahagian penyokong Kuala Lumpur (seperti biasa). Kurangnya promosi dan juga mungkin ada yang sudah putus asa kerana Selangor mempunyai kelebihan tiga gol dalam perlawanan pertama.
Mungkin ramai yang tidak memberikan sebarang harapan kepada KL termasuk aku sendiri untuk membuat comeback, tetapi rupanya tidak bagi pemain-pemain City Boys. Dua gol di separuh masa pertama menerusi Zaquan Adha dan Paulo Josue berjaya memberikan motivasi kepada Kuala Lumpur. Syazwan Andik menjaringkan gol ketiga Kuala Lumpur di separuh masa kedua untuk mengikat agregat 3-3 dan memadamkan kelebihan gol di tempat lawan Selangor.
Ketika ini barulah kuat sorakan penyokong Kuala Lumpur biarpun tidak ramai. Mungkin juga sebenarnya jumlah penyokong KL ketika ini sama seperti jumlah penyokong Dortmund di Veltins Arena yang diberi 10 peratus dari jumlah keseluruhan tiket.
Malangnya, Kuala Lumpur tewas menerusi sepakan penalty 7-8. Indra Putra dan Firdaus Faudzi gagal menyempurnakan sepakan penalti mereka.
Melihat kepada perbezaan dua derby ini, dapat dilihat Klang Valley Derby ini tidak sehangat Rivierderby. Aku tidak tahu bagaimana keadaan ketika era kemuncak KV derby ini di zaman Stadium Merdeka, tetapi perlawanan Selangor dan Kuala Lumpur ini hanya derby pada nama sekarang.
Di Veltins arena, aku melihat dan merasai sendiri kebencian di antara kedua-dua pasukan. Benci dalam erti bolasepak. Bukan benci sehingga mahu bergaduh atau berperang. Schalke bencikan Dortmund dan begitu juga sebaliknya. Kebencian ini adalah perasaan bukan sahaja di dalam stadium, tetapi juga bagi kedua-dua bandar.
Semua yang terlibat bagi kedua-dua pasukan, sama ada lembaga pengarah, pegawai, petugas stadium sehingga penyokong memang ada rasa benci terhadap pasukan lawan mereka. Bahkan seorang petugas stadium di Veltins Arena itu tidak mahu langsung menyebut nama Borussia Dortmund.
Tidak tercapai di akal jika Schalke dan Dortmund berkongsi stadium. Mungkin perkara itu boleh berlaku di Itali seperti AC Milan dan Inter Milan, tetapi agak sukar bagi tempat lain.
Mungkin selepas sekian lama tidak beraksi di Liga Super, Klang Valley derby kurang sengat. Ditambah Kuala Lumpur beberapa musim lalu tidak menunjukkan aksi konsisten.
Siapa tahu, jika Kuala Lumpur dan Selangor terus konsisten membangunkan pasukan sambil diiringi dengan strategi pemasaran yang bijak, Klang Valley Derby akan akhirnya kembali menjadi satu ‘highlight’ setiap kali kalendar bolasepak Malaysia diumumkan setiap tahun.