Luar Negara Eropah

10 fasiliti paling asas di setiap pusat latihan yang dimiliki oleh kelab-kelab terbesar

Bagi kebanyakan peminat bola sepak, mereka cukup teruja dan sinonim dengan stadium pasukan kegemaran mereka. Stadium merupakan tempat mereka melihat pasukan dan pemain kesayangan mereka beraksi pada setiap minggu. Sebagai contoh, peminat Manchester United dengan Stadium Old Trafford, peminat Barcelona dengan Stadium Camp Nou dan lain-lain lagi.

Namun begitu, bagi pemain dan jurulatih, mereka lebih berminat dengan pusat dan fasiliti latihan. Mengapa? Ini kerana pusat latihan merupakan tempat mereka meluangkan kebanyakan masa mereka sebagai pemain dan jurulatih professional bola sepak. Disinilah tempatnya untuk mereka memastikan kecergasan pada tahap penuh, menajamkan skil-skil dalam permainan dan menerapkan taktikal dan formasi bagi pasukan.

Setiap pusat latihan berbeza dengan pusat latihan lain. Kelab yang bermain di peringkat tinggi memiliki fasiliti yang lebih baik dan canggih berbanding kelab-kelab yang bermain di peringkat liga bawahan. Oleh itu, mari kita lihat 10 fasiliti asas yang diperlukan di setiap pusat latihan:

Padang Terbuka (Outdoor Pitch)

Pada kebiasaannya menggunakan rumput semula jadi dengan ukuran padang yang sama di stadium. Padang ini digunakan untuk mengadakan latihan, perlawanan antara skuad dan perlawanan persahabatan. Selain itu, rumput yang dipilih adalah rumput yang tahan pelbagai keadaan cuaca seperti hujan lebat dan salji supaya dapat menjalani latihan pada pelbagai kondisi.

Padang Tertutup (Indoor Pitch)

Selain itu, kebanyakan kelab juga menyediakan padang tertutup. Selalunya, rumput tiruan dengan piawaian khusus dipilih supaya dapat digunakan ketika keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk berlatih diluar. Padang ini digunakan untuk menerapkan taktikal dan formasi rahsia yang khusus untuk digunakan dalam menghadapi sesebuah perlawanan. Saiz padang yang dibina juga seperti saiz yang sama di stadium rasmi pasukan itu.

Gymnasium

Selain daripada bermain dengan bola, para pemain juga perlu memastikan keadaan fizikal mereka berada dalam tahap tertinggi. Walaubagaimanapun, latihan fizikal yang diperlukan oleh pemain posisi menyerang berbeza dengan pemain posisi bertahan. Begitu juga dengan pemain muda dan pemain senior.  Oleh itu, kelab memastikan gymnasium mereka mempunyai pelbagai alat supaya jurulatih kecergasan dapat merangka latihan yang khusus untuk setiap pemain seperti yang dikehendaki oleh ketua jurulatih.

Kolam Renang

Salah satu latihan yang dapat dilakukan oleh pemain yang mendapat kecederaan ringan adalah berenang. Latihan kardiovaskular dapat dilakukan tanpa menambah beban kepada sendi dan otot yang masih dalam kecederaan. Ini penting bagi mengekalkan kondisi pemain tanpa meningkatkan lagi kecederaan jika mengikuti latihan biasa. Sesetengah kelab juga memiliki kolam hidroterapi. Sedikit berbeza dengan kolam biasa, kolam ini digunakan kepada pemain-pemain yang cedera teruk untuk proses pemulihan.

Pusat Pemulihan

Kebanyakan kelab mempunyai nama yang berbeza bagi fasiliti ini. Sinonimnya, pusat ini seringkali dinamakan Pusat Fisioterapi. Disini, ahli fisioterapi dan doktor bagi kelab tersebut bertugas untuk memantau dan memulihkan pemain yang menghadapi kecederaan ligamen dan sendi sebagai contohnya.

Pejabat

Merangkumi pejabat untuk Ketua Jurulatih dan jurulatih-jurulatih untuk merangka strategi, taktikal dan formasi bagi pemain-pemain dan pasukan. Selain itu, disini mereka dapat memantau laporan daripada pemantau (scout) untuk beberapa pemain yang sesuai untuk ditandatangani pada jendela perpindahan (transfer window).

Kantin

Selain daripada latihan fizikal dan rawatan kecederaan, beberapa kelab juga membina kantin sebagai langkah untuk mengadakan diet khusus untuk para pemain. Diet ini direka khusus oleh pakar pemakanan dengan arahan ketua jurulatih supaya dapat memberikan prestasi permainan seperti yang diinginkan olehnya.

Bilik Mesyuarat

Menempatkan ruang untuk para pemain dan jurulatih berbincang mempersiapkan pasukan untuk perlawanan akan datang. Keduanya, mereka juga berbincang mengenai pasukan lawan mereka supaya pelbagai kelebihan dapat dikenalpasti bagi memastikan kemenangan untuk setiap perlawanan.

Dobi (Washing Facility)

Jersi dan pakaian para pemain menjadi kotor selepas perlawanan dan sesi latihan. Kitman akan mengumpulkan semua pakaian tersebut dan akan mencucinya untuk memastikan tahap kebersihan.

Bilik Santai (Common Room)

Sebuah kawasan digunakan untuk para pemain dan staf-staf untuk bersantai dan meluangkan masa waktu lapang. Selalunya televisyen, meja ping-pong dan beberapa permainan santai lain ditempatkan disini. Para pemain menghabiskan masa bergaul bersama rakan sepasukan dan membina ikatan persahabatan supaya meningkatkan kerjasama dalam pasukan semasa perlawanan