Jurulatih Felda United, B. Sathianathan tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dengan kelebihan jaringan satu gol kerana apa yang lebih penting adalah memastikan kemenangan diraih pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC malam ini.
Apatah lagi apabila pasukan yang digelar The Fighters itu kehilangan beberapa pemain utama termasuklah Thiago Junior dan hanya boleh mengharapkan pemain seperti Gilberto Fortunato, Stuart Wark dan Wan Zack Haikal Wan Nor pulih daripada kecederaan secepat yang mungkin.
“Satu gol bukan bekalan selesa. Walaupun hanya memerlukan seri untuk layak ke separuh akhir namun kami tidak mahu mengambil risiko bermain secara negatif, kami tetap mahukan kemenangan.
“Dengan kehilangan empat pemain utama, saya akui perlawanan ini terlalu mencabar terutamanya berdepan PKNP. Mereka memberi tentangan hebat kepada kami pada suku akhir pertama walaupun bermain pada waktu petang.
“Saya sendiri ada mengkaji permainan mereka ketika menentang Perak baru-baru ini. Walaupun tewas 1-2 namun kualiti PKNP lebih terserlah apabila mereka bermain pada waktu malam.
“Jadi, saya boleh jangka apa yang akan dihadapi kali ini. Mereka sendiri pernah mengalahkan kami pada suku akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Sathia, jika pemain-pemain utamanya tidak dapat diturunkan, beliau mahu pemain-pemain simpanan bersiap sedia untuk menampung kekosongan tersebut.
“Selama ini ada pemain yang merungut kerana hanya diletakkan di bangku simpanan, sekarang ini saya cabar mereka untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.