Felda United kekal menerajui Liga Perdana selepas menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
The Fighters bermula garang apabila tandukan Gilberto Fortunato tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Harun pada minit keenam.
Namun penyerang TFCII, Akanni Sunday hampir mengejutkan Felda pada minit ke-11 tetapi tidak bernasib baik apabila rembatannya tersasar daripada gawang gol.
Peluang demi peluang akhirnya membuahkan hasil buat Felda di hujung separuh masa pertama apabila Shukor Adan menjaringkan gol pelawat hasil sepakan sudut Wan Zack Haikal Wan Nor.
Felda terus selesa di separuh masa kedua apabila memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Thiago Fernandes pada minit ke-63.
Kemenangan tersebut merupakan kemenangan keenam berturut-turut buat Felda selepas enam perlawanan.
Sementara itu, Sarawak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas MIFA FC di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.
Bobby Gonzales muncul wira Bujang Senang apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-41 menghadiahkan kemenangan kepada pasukan kendalian Ian Gillian untuk mengutip tiga mata penuh.
Dalam satu lagi aksi tumpuan, Felcra FC turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan apabila menumpaskan UKM FC 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Penyerang import Felcra FC, Anselmo Da Silva meletakkan Felcra di hadapan dengan tandukan kencang hantaran rakan sepasukannya, Endrick Parafita pada minit ke-40.
UKM FC hanya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-54 menerusi pemain importnya, Sein Nam yang menanduk masuk bola dari luar kotak penalti.
Felcra akhirnya memecah kebuntuan apabila Anselmo sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-74 dan jaringan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Felda kini berada di tempat pertama dengan 18 mata, jauh meninggalkan Sabah yang berada di tempat kedua dengan 12 mata, diikuti Sarawak di tempat ketiga dengan 11 mata dan Felcra dengan 10 mata.
JDTFC II pula masih tercari-cari rentak kemenangannya selepas seri 0-0 dengan PDRM menjadikan pasukan itu menempuhi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan berkongsi kedudukan dengan UKM FC di kedudukan tercorot liga setakat ini.