Malaysia Berita

“Saya layak menyarung jersi Harimau Malaya” – Penyerang PKNP, Shahrel Fikri

Penyerang utama PKNP, Shahrel Fikri tekad mahu membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa apabila skuad kebangsaan Malaysia turun berdepan dengan Lebanon malam ini.

Shahrel merupakan sebahagian daripada sembilan pemain yang dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan minggu lepas, hanya satu hari selepas Malaysia seri 2-2 bersama Mongolia.

Walapun sembilan nama tersebut pada mulanya tidak menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe, Shahrel tetap berpendapat bahawa peluang ini tidak patut disiakan selepas sekian lama menunggu kesempatan ini.

“Sebelum ini pun pernah dipanggil namun terpaksa digugurkan kerana kecederaan jadi saya melihat panggilan saat akhir kali ini sebagai satu peluang yang tidak dijangka. Ini menunjukkan jurulatih menaruh kepercayaan kepada saya untuk membawa cabaran negara,” kata Shahrel, menurut laporan Arena Metro.

“Saya juga sudah mendapat rentak dalam aksi domestik dan dengan prestasi semasa yang agak baik, saya berpendapat saya layak untuk menerima panggilan ini. Jadi saya akan memberikan yang terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih.

“Walaupun ada yang mengganggap ia hanyalah sebagai panggilan kecemasan dan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak sebelum ini, namun saya melihat perkara ini dari sudut positif dengan membuktikan saya juga layak menyarung jersi skuad kebangsaan,” tambah Shahrel.

Perlawanan di antara Lebanon dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City hari ini dan dijadualkan bermula pada jam 11.00 malam waktu Malaysia.