Nama Yendrick Ruiz mungkin tidak begitu dikenali berbanding abangnya, Bryan Ruiz, yang kini beraksi bersama Sporting Lisbon. Yendrick lebih banyak melalui tempoh karier di tanah kelahirannya, Costa Rica.
Dia telah dua kali menabur bakti di luar negara dan kedua-duanya bukan di Eropah tetapi di Asia. Yang pertama, dia ke India untuk bersama Pune City pada 2015 menerusi perpindahan pinjaman dari Herediano.
Dalam percubaan keduanya di Asia, dia telah menandatangani kontrak bersama Bangkok Glass, walaupun pada mulanya dikhabarkan berada dalam radar Buriram United. Tawaran besar yang diberikan oleh Bangkok Glass jelas tidak mampu ditolak.
Walau bagaimanapun, dia tidak dapat beraksi untuk mereka kerana kuota pemain asing yang telah penuh. Ketika itu, Bangkok Glass diperkuatkan oleh Ariel Rodriguez (Costa Rica), Kalife Cisse dari Mali serta Romain Gasmi (Perancis).
Situasi itu membuatkan dia dipinjamkan ke kelab liga kedua, Chiang Mai. Di sana, Yendrick tampil cemerlang apabila menyumbat tujuh gol daripada 24 perlawanan, sekaligus muncul sebagai salah satu kejayaan yang hebat buat pemain yang mampu beraksi di bahagian serangan dan sayap pasukan. Dia kini sedang bermain untuk Herediano di Costa Rica
Namanya terus berada dalam radar skuad kebangsaan. Dia membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan Costa Rica pada 28 Mei 2013, apabila bertemu Kanada. Dan setakat ini, Yendrick sudah berjaya beraksi selama 156 minit dalam tujuh penampilan untuk Costa Rica, termasuk 21 minit dalam aksi perlawanan persahabatan menentang Scotland baru-baru ini.
Yendrick kini mempunyai peluang besar untuk beraksi dengan baik di Piala Dunia bersama Costa Rica selepas berjaya membuktikan kebolehan yang dimiliki dalam dua tahun terakhir, terutamanya ketika beraksi di Thailand! Kita turut mempunyai seorang pemain di Thailand, iaitu Kiko Insa, tetapi sayangnya, dia tidak akan ke pentas Piala Dunia buat masa sekarang.