Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat gembira dengan persaingan penjaga gol dalam skuad kebangsaan dan bersedia merebut tempat untuk menjadi penjaga gol nombor 1 negara.
“Dalam pasukan, sama ada kamu senior atau junior, ia sama sekali tidak penting. Dalam bolasepak, semuanya sama, sekiranya kamu bagus, maka kamu dapat beraksi tetapi semua orang harus berusaha gigih,” kata Khairul Fahmi seperti dilaporkan Harian Metro.
Bagi Khairul Fahmi, jika dia terpilih dalam perlawanan menentang Lubnan nanti, dia berjanji akan melakukan yang terbaik.
“Sekiranya jurulatih memutuskan untuk menyenaraikan saya, saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan terbaik.”
Melihat kepada barisan penjaga gol yang dipanggil ke skuad kebangsaan kali ini seperti Hafizul Hakim dari Perak dan Shahril Shaari dari PKNS, pastinya banyak yang boleh diajar oleh Khairul Fahmi kepada mereka berdua dengan pengalamannya sebelum ini membantu skuad kebangsaan menjulang trofi Piala AFF Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011.
Pemain yang turut terkenal dengan gelaran Apek ini juga sedar akan kritikan yang dilontarkan oleh penyokong Malaysia selepas Harimau Malaya gagal mencatat kemenangan sejak tahun lalu. Baginya, skuad kebangsan perlu menunjukkan persembahan baik menentang Lebanon, Selasa nanti.
“Biarpun kita tidak boleh melayakkan diri ke Piala Asia, saya harap kami boleh melakukan yang terbaik dalam perlawanan ini kerana kami tidak pernah menang sebelum ini. Ini adalah masanya untuk kita meraih sokongan peminat semula.”