Spekulasi Cristiano Ronaldo akan berhijrah ke Liga Super China kembali hangat diperkatakan. Kali ini, beberapa individu di sekeliling bintang sensasi itu yang membocorkan maklumat kepada media.
Perkara iti dinyatakan oleh bekas pelatih Guangzhou evergrande, Luiz Felipe Scolari. Dia yang pernah memenangi Piala Dunia pada tahun 2002 bersama Brazil menjelaskan bahawa Ronaldo sering bertanya kepadanya. Ronaldo tampak berminat dengan kehidupan di China kerana dia bertanya tentang perkara itu lebih daripada sekali.
Ronaldo dan Scolari pernah bersama di skuad kebangsaan Portugal pada 2004. Mereka menjadi nadi utama pasukan apabila melayakkan diri ke final Kejohanan Eropah (EURO) 2004 serta separuh akhir Piala Dunia 2006. Pada usia 33 tahun, pemain Real Madrid itu masih mampu beraksi secara luar biasa. Dia telah mencatat 37 gol daripada 35 perlawanan musim ini buat Los Blancos, sekaligus mengejar catatan musuh tradisi, Lionel Messi, yang berkelebihan tiga gol.
Dari China sendiri, memang wujud minat untuk mendapatkan Ronaldo. Pada awal tahun ini, pasukan gergasi Liga Super China, Tianjin Quanjin, dilaporkan telah cuba menawarkan kapten Portugal itu dengan kontrak lumayan. Bagaimanapun, Ronaldo tetap dengan pendirian untuk kekal di Santiago Bernabeu.
Namun, apabila wujud kenyataan daripada Scolari ini, spekulasi itu kembali bertiup kencang. Esporte Interativo turut mendedahkan bahawa pemenang lima kali Ballon d’Or itu kerap bertanya tentang kehidupan di China.
“Ronaldo sering bertanya kepada saya bagaimana kehidupan di China. Jadi, saya memberitahunya segala maklumat yang saya miliki,” kata Scolari.
“Ronaldo sudah muncul sebagai satu jenama sendiri serta primadona dalam industry global. China adalah negara terbesar di dunia. Jadi, saya memberitahunya bahawa jika berkesempatan ke China, terima saja.”
Kontrak Ronaldo di Madrid masih berbaki sehingga 2021. Bagaimanapun, situasi itu mampu berubah sekiranya Los Blancos berkeras untuk membawa masuk Neymar. Jika benar, kehadiran kedua-dua pemain itu akan memberi masalah kepada isu kewangan buat pasukan.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menegaskan Ronaldo masih setia bersama pasukannya. Dia menafikan khabar angin mengenai pengakuan Scolari.
“Jika anda mempunyai seorang rakan di Hong Kong, adalah satu perkara biasa apabila anda bertanya tentang kehidupan di sana,” ujar Perez.
Dalam masa sama, akhbar Daily Star melaporkan bahawa sebuah kelab dari Liga Super China telah mengajukan tawaran bernilai 113 juta paun untuk membawa masuk rakan sepasukan Ronaldo, Gareth Bale., namun ia ditolak oleh kapten Wales itu.
Kesemua kisah di atas cukup untuk menceritakan bahawa Liga Super China sudah bersedia daripada segi kewangan untuk membawa masuk salah seorang bintang terbaik dunia dan Ronaldo berada dalam senarai itu.