Tiada Kane, tiada masalah.
Pengurus England, Gareth Southgate tidak risau dengan kecederaan yang menimpa bintang Tottenham, Harry Kane menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Belanda dan Itali nanti.
Southgate yakin bahawa bintang muda Manchester United, Marcus Rashford lebih daripada bersedia untuk menggantikan tempat Harry Kane nanti.
“Dia seorang pemain yang ditakdirkan beraksi di pentas terbesar.
“Saya rasa kami ada beberapa pemain yang mempunyai X-Factor, dan sudah tentu Marcus adalah pemain yang kami percayai.
“Satu perkara istimewa mengenai Marcus adalah mentalitinya. Dia mempunyai mentaliti yang cukup bagus, yang kami lihat ada pada Kane ketika di umur yang sama. Saya juga rasa dia mempunyai mental yang kuat. Pemain muda di Manchester United membesar dengan bermain di hadapan 70,000 orang, jadi perlawanan besar tidak menakutkan mereka. Itu antara perkara yang perlu dihadapi apabila bermain untuk England.”
Bekas pengurus Middlesbrough itu akan meletakkan harapannya kepada pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik di England. Akan tetapi, dia tidak mahu semua penyokong terus menjangkakan mereka akan merangkul kejuaraan Piala Dunia nanti.
Menurut Southgate lagi, England masih belum mampu menyamai Jerman dan Brazil yang mempunyai konsistensi dari segi pemilihan pemain. Dia menyatakan England masih dalam proses pembangunan semula dengan pemain-pemain muda mula diberi peluang untuk beraksi bersama skuad senior.