Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: JDT tumpul di bahagian serangan, skuad Penyu pamerkan semangat juang tinggi

Tiga mata berharga di tempat lawan

Skuad Johor Darul Ta’zim akan pulang ke Johor Bahru hari ini dengan tiga mata berharga selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Terengganu malam semalam. Jaringan tunggal Marcos Antonio membantu JDT menumpaskan skuad Irfan Bakti, dalam perlawanan yang cukup sengit di Kuala Terengganu.

Kemenangan ini bermakna JDT terus gah di persada Liga Super dengan 12 mata daripada lima perlawanan pertama mereka, manakala Pahang dan PKNS mengambil posisi kedua dan ketiga dengan 10 mata. Terengganu pula kini berada di tangga keempat dengan lapan mata daripada lima perlawanan.

Berikut adalah beberapa rumusan yang kami buat berdasarkan perlawanan malam semalam:

MARCUS ANTONIO MASIH PENTING KEPADA JDT

Terlalu ramai orang yang mengatakan bahawa Marcos Antonio mungkin mengalami kesusahan untuk mencari rentak, selepas melalui kecederaan yang serius pada penghujung musim lepas. Namun malam semalam, Marcus Antonio terus membuktikan kepentingannya kepada skuad JDT ini dengan persembahan yang cukup kental. Dia bukan sahaja berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan, malah dia juga memainkan peranan yang cukup besar dalam mengekang segala cubaan serangan yang dilakukan oleh Terengganu.

LEE TUCK KURANG MENYERLAH

Bekas tonggak Nakhon Ratchasima ini adalah antara pemain terbaik Terengganu di pentas Liga Super musim 2018, namun dia gagal menyerlah ketika menentang JDT malam semalam. Lee Tuck nampak sedikit tamak, terutamanya pada babak kedua, apabila Terengganu terdesak untuk mencari gol penyamaan. Hasilnya? Kebanyakan hantaran yang dibuat oleh Lee Tuck gagal menetapi sasaran, sekaligus menjadikannya tidak begitu berkesan di atas padang, berbanding dengan Kipre Tchetche, yang berjaya mencipta beberapa peluang penting.

TERENGGANU MAMPU BERI CABARAN

Walaupun JDT terus gah di persada Liga Super dengan kemenangan berharga di Kuala Terengganu, skuad Penyu yang dikendalikan oleh Irfan Bakti ini membuktikan kemampuan mereka untuk memberi cabaran yang sengit. Mereka hanya tewas 0-1, tetapi yang lebih penting adalah semangat yang ditunjukkan oleh barisan pemain Terengganu sepanjang 90 minit. Mereka bekerja keras dan berjaya merobek pertahanan JDT beberapa kali, walaupun gagal menyempurnakan kesemua peluang-peluang tersebut. Jika momentum ini dapat diteruskan dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang, Terengganu sudah tentu mampu memberi cabaran sengit kepada takhta Liga Super.

KETUMPULAN BARISAN SERANGAN JDT

Jika perlawanan ini berjaya menunjukkan satu kelemahan yang ketara bagi skuad JDT, ia adalah ketumpulan mereka di bahagian serangan. Ketiadaan Jorge Pereyra Diaz masih dirasai, tetapi malam semalam, kombinasi di antara Nico Fernandez, Gonzalo Cabrera dan Hazwan Bakri nampak tidak efektif. Darren Lok juga gagal memberi sebarang impak apabila dimasukkan pada babak kedua. Tetapi, situasi ini perlu ditangani dengan cepat oleh barisan kejurulatihan JDT, kerana mereka hanya boleh membawa masuk pemain import baru pada bulan Mei akan datang. Untuk dua bulan seterusnya, skuad Southern Tigers terpaksa mencari ramuan baru menggunakan pemain yang sedia ada.

HARISS HARUN SUDAH MULA MENCARI RENTAK

Walaupun kita semua tahu akan kebolehan yang dimiliki oleh Hariss Harun, pemain tengah Singapura itu nampak sedikit goyah pada awal musim ini. Mungkin Hariss mengalami isu kecergasan atau mungkin bekas pemain LionsXII itu belum membentuk keserasian bersama Natxo Insa. Tetapi malam semalam, Hariss menunjukkan tanda-tanda yang positif di atas padang, dan sudah mula nampak lebih serasi bersama Insa.