Selain Lukas Podolski, seorang lagi bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Jay Bothroyd juga beraksi di Liga Jepun. Bekas pemain Cardiff City dan Queens Park Rangers ini juga antara pemain Inggeris yang pernah beraksi di Itali ketika bersama Perugia pada tahun 2003-2005.
Dalam kolum istimewa ini, penyerang Hokkaido Consadole Sapporo ini memberikan pendapatnya mengenai keadaan Arsenal dan pengurusnya yang sedang berada dalam tekanan hebat, Arsene Wenger.
Saya berasa dari keluarga penyokong Arsenal dan menyertai Akademi mereka ketika berusia 11 tahun. Rumah ibu saya cuma 10-15 minit jaraknya jika berjalan kaki ke stadium, dan anda patut tahu sekarang bagaimana kecewanya saya dengan keadaan kelab itu sekarang. Sebagai seorang pemain bolasepak dan sudut pandang peminat neutral, ianya menyedihkan melihat Arsenal tidak dapat mencabar kejuaraan, tetapi ianya lebih menyakitkan sebagai seorang penyokong.
Ketika bersama skuad bawah 18 tahun, saya sering berlatih dengan skuad utama dan selepas saya meninggalkan Arsenal, saya menerima panggilan dari Arsene Wenger. Dia memang langsung tidak berubah sejak hari pertamanya di Arsenal. Dia seorang yang pendiam, bersopan santun dan tidak baran. Tiada siapa yang saya kenal di Arsenal yang pernah melihat dia marah, kecuali ketika mereka tewas 6-1 di Old Trafford.
Saya tidak rasa dia pernah merasa berada di dalam tekanan seperti sekarang. Secara jujurnya, ianya sedih kerana dia insan yang bertanggungjawab menjadikan saya pemain seperti sekarang: seorang gergasi dengan kebolehan teknikal dan boleh menggelecek serta merembat. Saya bukan pemain yang sama seperti pemain lain yang bertubuh seperti saya, dan itu semua jasanya, kerana itu saya sedih dengan apa yang sedang berlaku. Tetapi semua kisah ada penghujungnya, dan saya rasa ini pengakhiran buat Wenger kerana penyokong sudah muak dengannya dan saya tidak dapat melihat bagaimana dia akan bangkit dari ini.
Kadangkala perkara yang sama itu tidak bagus. Semua orang di kelab menghormati Wenger, tetapi seperti saya katakan berulang kali, terlalu ramai pemain yang berada di zon selesa. Mereka sering mendapat kontrak baru tanpa berjuang untuknya. Dengan menjual pemain terbaik ke pasukan lawan juga tidak membantu, tetapi kesimpulannya, Arsenal dan Arsene Wenger tersangkut di takuk yang lama dan tidak berubah mengikut peredaran masa.
Manchester Ciy, United, Chelsea dan Tottenham kini berada di atas Arsenal. Berapa ramai pemain Arsenal yang boleh berada dalam skuad pasukan di empat tangga teratas sekarang? Mungkin hanya Aubameyang yang pasti tiada masalah berada dalam skuad Chelsea kerana dia lebih bagus daripada Morata. Tetapi saya tidak rasa Ozil lebih bagus dari Eriksen, atau Mkhitaryan lebih bagus dari Dele Alli, Sanchez, Pogba, Martial, De Bruyne…Ianya memang memalukan melihat Arsenal di belakang mereka.
Dalam Liga Perdana Inggeris anda perlu bersedia untuk berbelanja. Everton kini berbelanja lebih besar daripada Arsenal; musim lalu mereka berbelanja sebanyak £130 juta. Arsenal membeli Aubameyang dan Mkhitaryan tetapi tetap lebih kurang daripada Everton. Itu menunjukkan ke mana hala tuju liga sekarang.
Saya dikecam di Twitter kerana menyatakan Arsenal akan berada di tangga ketujuh pada awal musim lalu, dan kini mereka mungkin akan menamatkan musim di tempat kelima. Tempat keempat mungkin lebih bagus, tetapi ianya tidak akan berlaku. Burnley kini lima mata di belakang Arsenal dan mereka mempunyai momentum sekarang. Arsenal tidak mempunyai momentum, terutamanya di tempat lawan. Dua kekalahan kepada City adalah satu perkara. Ada cara untuk tewas – apabila para pemain memberikan segalanya dan tewas. Memang betul, pasukan yang lebih hebat menang. Tetapi saya juga tahu mereka akan tewas kepada Brighton, kerana Arsenal tidak mempunyai karakter atau pemimpin di dalam pasukan. Tiada seorang pun yang mampu membangkitkan semangat semua pemain.
Ketika saya di sana, ada Tony Adams, Sol Campbell, Ashley Cole, Patrick Viera, Henry, Dennis Bergkamp. Mereka menuntut kesungguhan daripada semua pemain setiap hari. Jika anda main sambil lewa, mereka akan mengherdik anda. Ianya bukan dari pengurus sahaja.
Ada yang memberitahu saya Ozil adalah pemain berkelas dunia, tetapi sebenarnya dia bukan. Pemain bertaraf dunia mampu mengubah permainan dan membuat keajaiban ketika pasukan bermain teruk. Ozil adalah penumpang, dia hanya hebat ketika seluruh pasukan hebat.
Barisan pertahanan bagi saya sangat mengecewakan. Petr Cech pula..dia mempunyai karier yang cukup mengagumkan, itu tidak dapat dinafikan. Dia seorang penjaga gol yang bagus, tetapi buat masa ini dia banyak membuat kesilapan dan ia memberi kesan kepada pasukan. Dia tidak pernah bagus dengan kakinya, tetapi saya tidak menyalahkan dia sepenuhnya.
Kesalahan jatuh kepada barisan pertahanan yang sepatutnya mempertahan penjaga gol. Penjaga gol adalah benteng pertahanan terakhir tetapi pertahanan perlu lebih berkerja keras. Tiada komunikasi, tiada keserasian, berterabur. Tidak kiralah siapa di depan, jika anda bolos sembilan gol dalam masa seminggu, apa yang anda boleh buat di bahagian serangan?
Kembali kepada Wenger, saya rasa dia sepatutnya pergi selepas menjulang Piala FA musim lalu. Sekarang semuanya nampak teruk dan mereka akan melupakan semua kejayaannya.
Dia mungkin telah merosakkan legasinya sendiri, kerana tiada siapa akan ingat mengenai skuad Invincible dan bagaimana dia mengubah kelab, diet pemain, corak permainan menarik. Dia mengubah bolasepak Inggeris. Semua orang mahu bermain seperti Arsenal!
Kini orang hanya akan ingat masa yang buruk: terkeluar daripada empat teratas, tewas 12 perlawanan liga, pungutan mata paling sikit dalam tempoh enam tahun terakhir. Ianya menyedihkan kerana dia berjasa untuk Arsenal dan bolasepak Inggeris.
Akan ada pihak yang menawarkan jawatan kepada Wenger di masa hadapan, tetapi jika saya adalah dia, saya akan mengambil jawatan skuad kebangsaan dan lupakan untuk sertai kelab. Ianya pasti menarik jika dia boleh berkerja di Jepun!
Untuk penggantinya, saya memilih Diego Simeone kerana saya rasa dia boleh membawa sesuatu yang Arsenal perlukan. Arsenal perlu diajar dan mereka perlu tahu akan ada orang untuk mengejutkan mereka. Anda tidak boleh bersenang lenang, mahu kontrak baru? Kerja keras! Anda tidak boleh berlatih sambil lewa, menerima kontrak baru walaupun tercedera selama empat tahun.
Mkhitaryan dan Ozil mungkin boleh dikira sebagai pemain mewah, tetapi Simeone mempunyai pemain di Atletico Madrid yang sedia untuk berkerja keras. Seseorang sepertinya pasti sesuai untuk Arsenal.