Bekas pemain Pahang dan juga satu-satunya pemain kebangsaan Malaysia yang beraksi di Liga Thailand, Kiko Insa yang beraksi untuk Bangkok Glass menyatakan bukan perkara mustahil untuk skuad negara dan juga kelab-kelab di Malaysia menyaingi rakan mereka di Thailand.
Kiko yang tidak beraksi ketika skuadnya mencatatkan kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Port F.C dengan keputusan 2-0 tahu jika skuad negara kekal fokus, tidak mustahil untuk Malaysia merebut gelaran juara Asean daripada Thailand di Piala AFF Suzuki nanti.
“Sudah tentu Malaysia boleh menyaingi Thailand. Kita mempunyai pemain yang bagus, dan saya rasa teruja untuk bermain di Piala AFF Suzuki nanti. Kita perlu fokus dan dapatkan keyakinan Kami perlu memenangi sesuatu untuk negara. Sama juga untuk kelab-kelab di Malaysia. Seperti perlawanan JDT menentang Muangthong, saya rasa sistem kelayakan ke Liga Juara-Juara Asia ini boleh diperbaiki dan mengambil sistem sama seperti di Eropah di mana ada perlawanan timbal balik. Ianya tidak adil untuk beraksi hanya satu perlawanan di tempat lawan. Jadi ya, saya rasa kelab-kelab di Malaysia boleh bersaing dengan kelab-kelab di Thailand.”
Pemain berusia 30 tahun yang mempunyai darah kacukan Sepanyol-Malaysia ini juga satu-satunya pemain Malaysia yang sudah beraksi di Liga Indonesia, Malaysia dan Thailand. Jadi dia tahu apa perbezaan dan kelebihan setiap liga.
“Bezanya antara ketiga-tiga liga adalah dari segi profesionalisme. Di Thailand, mereka mempunyai kemudahan lebih bagus untuk latihan, skuad remaja, perubatan, padang dan banyak lagi. Ianya lebih bagus daripada di Malaysia dan Indonesia. Kalau dari segi penyokong, sudah tentu Indonesia. Mereka fanatik dan susah untuk cari di tempat lain. Sebagai contoh, penyokong Arema, mereka memang terbaik. Bahkan, mereka juga hadir ketika sesi latihan. Di Malaysia, permainan lebih teratur dan banyak pasukan hebat seperti JDT, Pahang dan Perak. Sukar untuk menang di tempat lawan.”
Walaupun sibuk dengan Liga Thailand, bekas pemain Bali United ini tetap ambil tahu mengenai Liga Malaysia. Baginya, JDT mungkin akan sekali lagi muncul juara pada musim ini. Dia juga menyatakan, abangnya Natxo akan mencuri tumpuan sekali lagi pada musim ini.
“Saya rasa mungkin agak sukar untuk pasukan lain mencabar JDT di Liga Super, tetapi lain ceritanya bagi Piala FA dan Piala Malaysia. Dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku, terutamanya dalam kejohanan piala. Tetapi dalam aksi liga yang lebih panjang, ianya susah. Mereka mempunyai barisan pemain hebat dan kemudahan yang bagus. Untuk menewaskan JDT, kelab lain perlu menjadi lebih profesional.
“Mengulas mengenai Natxo sebagai seorang pemain profesional dan bukan sebagai keluarga, jika dia bukan pemain terbaik, dia salah seorang pemain terbaik di Malaysia. Dia seorang pemain yang bagus dan rajin sama ada dengan bola atau tanpa bola. Dia juga boleh membantu jaringan dan menjaringkan gol untuk pasukan.”
Selepas permulaan yang mengecewakan, Bangkok Glass berjaya mencatat kemenangan pertama mereka musim ini sekaligus naik ke tangga 13 liga. Bangkok Glass tewas dalam dua perlawanan pertama mereka, tetapi Kiko berjaya membantu mereka mendapatkan mata pertama musim ini apabila seri dengan Siam Navy minggu lalu.
Dengan perjalanan liga masih jauh, masih ada masa untuk Kiko dan Bangkok Glass mengejar Buriram United yang mengumpul 12 mata selepas menang keempat-empat perlawanan mereka setakat ini.