Luar Negara

FIFA yakin dengan tahap keselamatan di Russia

Keganasan yang berlaku disebabkan oleh penyokong Spartak Moscow di Bilbao semalam menimbulkan kegusaran di kalangan penyokong bolasepak yang akan berkunjung ke Russia untuk Piala Dunia pada 14 Jun nanti.

Namun, FIFA dalam satu kenyataan yakin bahawa langkah keselamatan telah diambil oleh Russia untuk mengawal kegiatan hooligan di negara berkenaan.

Seorang jurucakap FIFA telah menjawab persoalan Reuters menerusi email.

“Berkenaan keselamatan di Piala Dunia FIFA 2018, FIFA percaya sepenuhnya dengan konsep langkah keselamatan yang telah diatur oleh pihak berkuasa Russian dan jawatankuasa penganjur tempatan.

“Seperti yang ditunjukkan di Piala Konfederasi FIFA tahun lalu, Russia mempunyai tahap keselamatan tinggi yang disesuaikan untuk temasya sukan yang besar.

“Kebiasaannya, FIFA berhubung secara kerap dengan semua pemegang amanah berkenaan penilaian risiko, yang membolehkan pelaksanaan semua langkah pencegahan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

Dalam insiden yang berlaku di Bilbao, seorang pegawai polis telah meninggal dunia selepas diserang sakit jantung ketika bertugas untuk menghalang pertempuran di antara penyokong Spartak Moscow dan Athletic Bilbao.

Sembilan orang telah ditahan dan menurut laporan akhbar El Munda, dua Ultras dari Russia telah dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan akibat ditikam.