Selepas mencuri tumpuan ketika Sukan SEA di Kuala Lumpur yang lalu, bintang skuad Futsal kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin telah menjadi perhatian banyak kelab di luar negara. Dia akhirnya memilih untuk menyertai SKN FC Kebumen di Liga Futsal Indonesia untuk mengembangkan kerjayanya. Ikut temuramah kami bersama pemain yang terkenal dengan gelaran Ayon ini;
FT: Bagaimana anda mula tertarik dengan futsal?
KE: Saya pada mulanya bermain hanya untuk seronok-seronok. Tapi selepas sering kalah ketika menyertai kejohanan, baru saya mula serius bergiat dalam futsal.
FT: Kenapa anda memilih untuk ke Indonesia, dan kenapa SKN FC Kebumen?
KE: Memang sudah menjadi impian saya untuk mengembangkan kerjaya saya di luar negara. Sebelum ini ada beberapa kelab yang menunjukkan minat untuk mendapatkan saya, tetapi saya lihat SKN Kebumen yang paling serius mahu mendapatkan saya, jadi saya memilih untuk sertai mereka.
FT: Apa bezanya liga futsal di Indonesia berbanding di Malaysia?
KE: Antara perbezaan yang saya dapat lihat adalah setiap perlawanan liga futsal di sana disiarkan secara live streaming di internet and beberapa perlawanan turut disiarkan secara langsung di kaca tv. Bahkan, untuk menonton perlawanan futsal di sana, bayaran untuk tiket dikenakan dan penonton tidak kisah untuk membayarnya. Yang penting juga, liga futsal di Indonesia sudah profesional.
FT: Anda merupakan antara pemain futsal Malaysia yang berhijrah ke luar negara sekarang. Kenapa anda rasa ianya berbeza dengan pemain bolasepak tempatan yang dilihat kurang berminat berhijrah ke luar Malaysia?
KE: Ianya pilihan masing-masing dan saya pasti mereka ada sebab tersendiri. Mungkin ada antara mereka tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan Malaysia. Saya sendiri mengaku, selepas sebulan di Indonesia memang saya sendiri ada rasa homesick.
FT: Apa sasaran dan impian anda untuk SKN FC Kebumen dan juga pasukan kebangsaan?
KE: Apa yang utama bagi saya adalah untuk memajukan futsal di Malaysia. Saya mahu negara luar tahu Malaysia ada ramai pemain yang hebat. Saya juga mahu skuad kebangsaan dapat mencapai kejayaan yang lebih hebat berbanding skuad yang terdahulu. Bagi SKN Kebumen FC pula, saya mahu bantu mereka layak ke separuh akhir dan menjadi juara Indonesi Pro Futsal League.
Football Tribe berkesempatan menyaksikan penampilan pertama Ayon di Liga Futsal Indonesia, di mana pasukannya bertemu pesaing terdekat yang juga antara pasukan terkenal di Indonesia, Vamos Mataram.
Biarpun tewas, Ayon sempat menunjukkan aksi-aksi hebat yang pastinya akan ditagih oleh SKN FC Kebumen dalam perlawanan mendatang.
Kepada ayon, kami di Football Tribe mengucapkan selamat berjaya dan semoga ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan Malaysia dalam arena futsal dunia.