Liga Super Malaysia

Datuk M.Karathu antara calon ketua jurulatih Kelantan

Selepas memecat jurulatih mereka, Sathit Bensoh, Kelantan dikhabarkan akan membawa kembali bekas jurulatih mereka, Datuk M. Karathu bagi mengendalikan pasukan.

Karathu yang pernah membawa Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala Sumbangsih pada tahun 2011 merupakan antara calon dikatakan menarik minat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), selain daripada beberapa jurulatih dari luar negara yang turut menunjukkan minat menggantikan tempat Sathit Bensoh.

Menurut laporan Sinar Harian, Karathu mengakui dihubungi pihak KAFA:

“Memang benar saya ada dihubungi pihak KAFA, saya ada bercakap sedikit sebanyak mengenai jawatan itu tapi belum ada tawaran rasmi daripada mereka. Saya rasa lebih elok kita bincang, jumpa lagi bagus. Mungkin (pertemuan) di Kuala Lumpur pun tak ada masalah.

“Jika anda tanya adakah saya sedia ke Kota Bharu, ya saya sanggup malah sudah bersedia sekali lagi mencurah pengalaman untuk melatih pasukan ini. Kalau tak dapat sesuatu dalam Liga Super, mungkin saya boleh usahakan piala (Piala FA dan Piala Malaysia) untuk Kelantan.”

Sathit Bensoh dipecat selepas Kelantan menunjukkan prestasi buruk dalam saingan Liga Super 2018. Dalam perlawanan terakhirnya membimbing Kelantan, The Red Warriors tewas 3-0 kepada Pahang.

Buat masa ini, Yusri Che Lah memegang jawatan selalu pemangku ketua jurulatih Kelantan.