Luar Negara

Mengapa corak serangan Juventus layak diberi pengiktirafan yang lebih baik

Dari perspektif sejarah dan tradisi, Juventus sering dilabel sebagai antara pasukan bercorak defensif yang terbaik di Eropah. Semenjak tujuh tahun lepas, mereka mempunyai rekod defensif terbaik di Serie A, terutamanya dengan empat pemain berstatus lagenda di bahagian pertahanan, Gianluigi Buffon, Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini.

Gandingan Barzagli-Bonucci-Chiellini juga merupakan kombinasi defensif pertama untuk diberi akronim tersendiri – BBC, seperti akronim MSN di Barcelona, yang popular di seluruh dunia ketika Neymar masih menyarung jersi mereka.  Di Juve, abjad ‘B’ kedua sudah tiada – Bonuccia berhijrah ke AC Milan pada musim panas lepas. Namun, reputasi Juventus sebagai sebuah pasukan yang kebal di bahagian pertahanan, terus bersama mereka musim ini.

Budaya bolasepak di Itali sering dikaitkan dengan aspek pertahanan, jadi tidak aneh untuk Juventus, pasukan terunggul di Itali, untuk mewakili budaya tersebut di atas padang. Barisan pertahanan ‘Old Lady’ sering meraikan setiap terjahan yang mereka buat, dan ‘clean sheet’ menjadi keutamaan di dalam setiap perlawanan. Tetapi jika anda melihat dengan lebih teliti, anda akan sedar bahawa tidak adil untuk kita melabel Juve sebagai pasukan yang defensif, kerana mereka turut mempunyai pelbagai aspek lain yang layak diberi pujian.

Musim ini, skuad Massimiliano Allegri telah berjaya menjaringkan tiga atau lebih gol dalam hampir 50 peratus perlawanan Serie A setakat ini, sekaligus mempunyai purata 2.5 gol dalam setiap perlawanan. Secara keseluruhan, Juventus sudah menjaringkan 61 gol musim ini – hanya tiga pasukan gergasi lain di Eropah yang mempunyai rekod yang lebih bagus: Paris Saint-Germain, Manchester City dan Barcelona.

Jika jaringan gol menjadi penanda aras untuk hiburan di dalam dunia bolasepak, Juventus boleh dikatakan antara pasukan yang paling menghiburkan di Eropah. Namun, sementara PSG, Manchester City dan Barcelona diberi pujian untuk kualiti bola sepak mereka setiap minggu, Juve masih bergelut dengan reputasi ‘pasukan defensif’.

Mungkin keserbabolehan taktikal Juventus yang membuatkan kebanyakan orang sukar untuk menerima hakikat bahawa Juve merupakan bercorak serangan yang terbaik di Eropah. Kebanyakkan kelab-kelab popular di Eropah pada waktu ini mempunyai identiti taktikal yang terang – sebagai contoh, lihat formasi 4-3-3 yang digunakan oleh Napoli dan Manchester City. Skuad Allegri pula amat fleksibel. Mereka tidak mempunyai identiti taktikal yang tetap untuk setiap perlawanan dan itu membolehkan mereka untuk mengubah dan menyesuaikan diri dengan pelbagai corak taktikal di dalam setiap perlawanan.

“Resultism”, iaitu pendekatan praktikal yang digunakan oleh Juve adalah suatu perkara yang susah difahami oleh golongan peminat bola sepak yang bersifat tradisionalis. Bagi Allegri, kemenangan adalah perkara yang paling penting. Baru-baru ini, ketika mereka bertemu dengan Fiorentina, Allegri membuat pertukaran defensif pada minit ke-60, membawa masuk satu lagi pemain pertahanan tengah, walaupun mereka berada 2-0 di hadapan pada waktu itu. Hasilnya? Juve meraih kemenangan 2-0 dan juga tiga mata berharga.

Namun begitu, buat sebuah kelab yang taksub untuk sentiasa memenangi piala, Juventus juga telah berjaya membuktikan kebolehan mereka untuk bermain dengan corak serangan yang menakjubkan. Semuanya bermula di bahagian pertahanan, di mana Chiellini menjadi pemain yang memulakan serangan. Tidak ramai pertahanan tengah di dunia bola sepak yang mampu mengawal bola seperti Chiellini. Larian yang sering dilakukan oleh bintang Serie A ini merupakan antara aspek yang paling penting dalam kebolehan Juventus membina serangan dari belakang.

Larian Chiellini juga sentiasa mempunyai tujuan yang jelas. Dia mahu menekan pertahanan pasukan lawan, yang kebanyakkannya bermain secara konservatif. Juventus sering berdepan dengan pasukan-pasukan yang cuba bermain dengan corak bertahan, tetapi di dalam situasi begini, Miralem Pjanic menjadi senjata terunggul mereka.

Playmaker yang berasal daripada Bosnia itu telah mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Andrea Pirlo dengan efektif. Dia mempamerkan corak permainan yang sama dengan Pirlo – tenang di atas padang, bijak mencari ruang, dan mampu membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukannya, tanpa mengira posisi mereka di atas padang.

Walaupun Chiellini dan Pjanic mampu membina serangan Juve daripada belakang, mereka memerlukan pemain lain untuk menerima hantaran mereka. Corak taktikal Juve sememangnya cukup fleksibel, tetapi mereka kerap beroperasi dengan formasi 4-3-3, dengan Sami Khedira dan Blaise Matuidi membuat larian-larian yang berfungsi untuk merengangkan bahagian pertahanan lawan. Khedira, terutamanya, cukup bijak dalam membuat larian-larian ini dan aspek ini berjaya membantunya menjaringkan satu gol dalam setiap empat perlawanan.

Di bahagian serangan pula, Gonzalo Higuain adalah penyerang yang tradisional – fungsi utamanya di atas padang adalah untuk menjaringkan gol. Tetapi dia juga sanggup turun untuk membantu proses membina serangan di bahagian tengah. Dan rakan sepasukannya, Paulo Dybala adalah antara pemain paling susah untuk diperhatikan oleh mana-mana pertahanan di seluruh dunia. Bintang yang berusia 24 tahun itu sering dibandingkan dengan Lionel Messi dan sudah berjaya meledak 17 gol dalam 29 penampilan untuk Juve musim ini.

Apa yang lebih penting, skuad Allegri mampu berfungsi sebagai sebuah pasukan yang kohesif. Corak serangan mereka mempunyai variasi, tetapi boleh dilihat secara konsisten dalam setiap perlawanan. Pemain tengah mereka turun dengan teratur, setiap kali bek kiri dan kanan memilih untuk melancarkan serangan.

Tanpa keraguan, Juventus adalah sebuah pasukan defensif yang mengagumkan, tetapi kebolehan mereka untuk menyerang dan menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia juga layak diberi perhatian, pujian dan yang paling penting, pengiktirafan.

Oleh Blair Newman
(www.tifofootball.com)

Saksikan perlawanan Serie A yang terpilih secara ‘LIVE in HD’ melalui platform SportsFix. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sportsfix.tv