Tragedi kemalangan pesawat udara Munich sememangnya meninggalkan kesan yang teruk kepada Manchester United. Sebagai penghormatan, setiap tahun Manchester United akan mengadakan hari peringatan untuk mengingati semua mangsa yang terkorban yang dihadiri semua petugas dan pemain kelab berkenaan.
Namun, pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard telah menimbulkan amarah penyokong Manchester United apabila dia dikatakan telah memuat naik status di Twitter peribadinya tiga minit selepas upacara berkabung berlangsung.
Lingard yang menyertai upacara berkenaan telah memohon maaf di atas perkara tersebut dan menyatakan bahawa tweet berkenaan sebenarnya dimuat naik oleh ahli pasukan medianya secara tidak sengaja. Dia telah memuat naik tweet baru di akaun twitter peribadinya untuk memohon maaf dan menjelaskan perkara berkenaan.
Dalam kenyataanya, Lingard berkata: “Seorang petugas dari pasukan media saya telah membalas satu tweet pada tengahari ini menggunakan profil twitter saya ketika saya menghadiri Upacara Memperingati Tragedi Munich di Old Trafford.
“Saya tidak menyedari perkara berkenaan kerana saya berada di upacara tersebut ketika itu, dan tidak bersetuju dengan apa yang dimuat naik pada masa tersebut.
“Kenyataan tersebut telah diturunkan dan saya ingin memohon maaf untuk sebarang kesulitan yang berlaku, ini sememangnya satu perkara yang tidak boleh diterima dan tidak mencerminkan sikap atau pandangan saya pada hari yang cukup beremosi ini.”
Pengurus Manchester United dikhabarkan telah menegur Lingard berkenaan perkara tersebut dalam sesi latihan dan menasihatinya untuk lebih berhati-hati di masa hadapan.