Liga Super Malaysia

Rob Cornthwaite sah tinggalkan Western Sydney Wanderers untuk sertai Perak

Kapten Western Sydney Wanderers (WSW), Rob Cornthwaite sah kembali ke kancah bolasepak Malaysia dan akan menyarung jersi Perak untuk musim 2018.

Berita ini disahkan melalui akaun rasmi Instagram Naib Presiden PAFA, Datuk Shahrul Zaman Yahya, malam semalam. Beliau memuat naik gambar bersama Brendan Gan, Ahmad Shahrul Azhar dan juga lima pemain import Perak untuk musim 2018, termasuk Rob Cornthwaite.

“Terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian daripada keluarga Perak TBG. Moga-moga kita berjaya memenangi satu piala tahun ini insyaallah,” kata Datuk Shahrul.

Bekas bintang Selangor itu turut telah mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan WSW dan sempat mengucapkan terima kasih kepada kelab A-League itu melalui Twitter dan Instagram.

“Menyarung jersi @wswanderersfc dan memakai lilitan kapten merupakan penghormatan yang cukup besar sepanjang saya berada di kelab ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan, staf medik, bilik persalinan dan juga semua penyokong kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya,” kata Cornthwaite.

Berita ini bermaksud Cornthwaite akan bermain di bawah Mehmet Durakovic buat kali kedua selepas dia menjadi antara komponen yang paling penting dalam skuad Durakovic di Selangor yang berjaya memenangi Piala Malaysia pada tahun 2015.