Buat kali pertama sejak kejohanan ini dimulakan, Piala AFC B-23 kali ini akan menyaksikan kelibat tiga wakil daripada Asia Tenggara. Malaysia, Vietnam dan Thailand berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat kelayakan, sekaligus meraih slot ke pentas ini.
Thailand sudah mula mencabar kuasa terbesar di Asia semenjak beberapa tahun lepas, terutamanya melalui skuad senior mereka yang cukup kuat. Vietnam turut berazam untuk mengikut jejak langkah Thailand selepas skuad B-20 tahun mereka bergempur di pentas Piala Dunia pada pertengahan tahun lepas. Malaysia juga mempunyai aspirasi yang cukup besar, sejak era Tunku Mahkota Johor sebagai presiden FAM bermula tahun lepas.
Kejohanan ini akan bermula pada hari ini dan ketiga-tiga wakil Asia Tenggara telah dimasukkan ke dalam kumpulan yang turut mempunyai nama-nama besar seperti Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan. Dan panel Football Tribe dari Malaysia, Thailand dan Vietnam telah membina senarai 10 pemain tumpuan Asia Tenggara yang mampu membantu pasukan mereka mencipta sejarah di China.
Klik butang ‘next’ untuk melihat senarai kami!
JAKKIT WACHPIROM - Thailand
Kelab: FC Tokyo B-23
Umur: 20 tahun
Posisi: Pertahanan
Sejak berhijrah ke FC Tokyo, Jakkit telah menunjukkan peningkatan yang cukup cemerlang dan sekarang dikenali sebagai antara pemain pertahanan yang terbaik di Thailand, walaupun hanya berumur 20 tahun. Tahun lepas, dia menjadi pemain Thai pertama untuk menjaringkan gol di pentas J.League. Pemain ini sudah tentu akan memainkan peranan yang cukup penting untuk skuad Thailand.
NOR AZAM AZIH - Malaysia
Kelab: Pahang FA
Umur: 22 tahun
Posisi: Tengah
Nor Azam Azih adalah antara pemain tengah terbaik di Malaysia pada ketika ini. Dia bukan sahaja tenang dengan bola di kakinya, malah Azam turut bijak membuat keputusan di atas padang. Musim lepas, dia menjadi fulkrum penting di dalam skuad Pahang yang akhirnya muncul naib juara Liga Super. Tidak lagi rahsia bahawa Ong Kim Swee meminati Azam sebagai seorang pemain dan bakal menaruh harapan terhadap pemain Pahang ini di China.
LUONG XUAN TRUONG - Vietnam
Kelab: HAGL
Umur: 23 tahun
Posisi: Tengah
Xuan Truong jarang diberi peluang bermain untuk HAGL sepanjang 2017 akibat pergelutan prestasi namun itu bermakna dia akan mahu bangkit kembali untuk Vietnam di pentas Piala AFC B-23 tahun. Tidak boleh dinafikan bahawa dia mempunyai tahap kreativiti yang cukup tinggi, selain ketenangannya di atas padang. Jika dia berjaya mengembalikan prestasi lama, Xuan Truong akan menjadi antara pemain yang paling penting dalam skuad Vietnam.
CHENROP SAMPHAODI - Thailand
Kelab: Muangthong United
Umur: 22 tahun
Posisi: Penyerang
Chenrop adalah satu-satunya 'target man' dalam skuad Thailand, bermakna dia akan menjadi tonggak penting di bahagian serangan. Bulan Ogos lepas, penyerang Muangthong United ini membantu Thailand meraih pingat emas di pentas Sukan SEA dengan persembahan yang menarik perhatian ramai. Persoalannya adalah, mampukah Chenrop mengulangi kejayaan tersebut di arena yang lebih berprestij?
ADAM NOR AZLIN - Malaysia
Kelab: Johor Darul Ta'azim
Umur: 21 tahun
Posisi: Pertahanan
Pertukaran yang dialami oleh karier Adam pada tahun 2017 cukup mengagumkan. Dia memulakan tahun tersebut sebagai penyerang yang berpotensi sebelum ditukarkan menjadi pemain pertahanan tengah. Selepas membantu Malaysia mara ke final Sukan SEA dan menunjukkan prestasi yang konsisten bersama Selangor, Adam akhirnya dibawa masuk ke JDT, bulan lepas. Di China, Adam dijangka menjadi nadi utama untuk bahagian pertahanan skuad OKS.
NGUYEN QUANG HAI - Vietnam
Kelab: Hanoi FC
Umur: 21 tahun
Posisi: Tengah
Walaupun berumur 21 satu tahun, Quang Hai adalah antara pemain yang paling penting dalam skuad Vietnam. Dia bermain di pentas Piala Dunia B-20 tahun sebelum membantu Vietnam di Sukan SEA. Pada penghujung tahun, dia turut diberi panggilan ke dalam skuad senior Vietnam. Lebih lagi, dia diberi anugerah 'Bronze Ball' selepas berjaya menjadi antara pemain yang paling konsisten di V.League, sepanjang 2017.
SARINGKARN PROMSUPA - Thailand
Kelab: Rayong FC
Umur: 20 tahun
Posisi: Pertahanan
Thailand sememangnya akan menghadapi cabaran yang cukup besar dengan Korea Utara dan Jepun di kumpulan mereka. Namun, peminat bolasepak Thailand cukup optimistik bahawa dengan adanya Saringkarn Promsupa dalam kesebelasan pertama, mereka mampu menewaskan mana-mana gergasi Asia. Meskipun bermain di divisyen kedua Thailand, Promsupa sudah mula menarik perhatian kelab-kelab besar di divisyen pertama dan ini merupakan platfom terbaik untuk dia membuktikan kebolehannya.
N. THANABALAN - Malaysia
Kelab: Negeri Sembilan
Umur: 22 tahun
Posisi: Penyerang
Thanabalan muncul sebagai wira Malaysia tahun lepas, selepas membantu skuad Ong Kim Swee layak ke Piala AFC B-23 tahun, sebelum menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan untuk membawa Malaysia ke final Sukan SEA di Kuala Lumpur. Ciri-ciri kekuatan Thanabalan yang terbaik adalah kerajinannya di atas padang. Dia sentiasa mengejar bola, sentiasa memberi tekanan terhadap pertahanan lawan dan sentiasa mahu menjaringkan gol.
NGUYEN CONG PHUONG - Vietnam
Kelab: HAGL
Umur: 23 tahun
Posisi: Penyerang
Dari perspektif taktikal ketua jurulatih Vietnam, Cong Phuong akan menjadi pemain paling penting untuk mereka. Penyerang HAGL ini akan digunakan sebagai tonggak utama di bahagian serangan dengan harapan dia akan berjaya menunjukkan prestasi yang membantu Vietnam di peringkat kelayakan tahun lepas. Cong Phuong menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan, termasuk satu gol menentang Korea Selatan.
SUPACHOK SARACHAT - Thailand
Kelab: Buriram United
Umur: 19 tahun
Posisi: Penyerang
Penyerang Buriram United ini adalah pemain yang paling penting di jentera serangan Thailand. Dia mempunyai kelajuan yang tinggi, tahap kreativiti yang mengagumkan dan tidak pernah takut untuk menggelecek bola. Di pentas yang besar seperti Piala AFC B-23 tahun, setiap pasukan memerlukan seorang pemain seperti Supachok. Bagi Zoran Yankovic, dia bernasib baik Supachok adalah anak buahnya dan akan mengemudi misi mereka di China.
Anda setuju dengan pilihan kami? Kongsikan pendapat anda di laman Facebook kami!