Malaysia akan memulakan kempen memburu pingat emas acara bola sepak Sukan SEA daripada Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam hari ini. Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee menyatakan faktor penyokong juga mampu membantu para pemainnya dalam persaingan temasya Sukan SEA kali ini kerana akan beraksi sebagai tuan rumah.
Kami telah menemubual beberapa penyokong setia pasukan kebangsaan. Rata-rata berpendapat skuad bimbingan Kim Swee kali ini adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik berdasarkan prestasi mereka yang berjaya mencipta sejarah layak ke Kejohanan AFC U23 secara merit di China pada tahun hadapan.
“Pandangan peribadi, inilah skuad terbaik yang OKS dapat senaraikan berdasarkan prestasi pemain di dalam aksi liga, jelajah China dan kelayakan Kejohanan AFC B-23 baru-baru ini,” kata salah seorang penyokong setia Harimau Malaya, Al-Zaim Arzaman.
“Tentunya Thailand adalah pencabar terkuat. Kalau ikut kata pengurus Thailand B23, mereka dah bersedia hampir setahun untuk pertahankan emas sukan SEA. Namun, Vietnam dan Myanmar pun tidak boleh dipandang mudah kerana Thailand juga dikhabarkan akan berhati-hati dengan Vietnam,” ujarnya.
Beliau yang tinggal di Kedah juga akan cuba meluangkan masa turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan jika pasukan Malaysia berjaya tempah tiket ke penentuan pingat emas Sukan SEA.
“Bergantung kepada masa sebab perlu turun dari Kedah. Tetapi akan cuba usaha cari jalan dan masa untuk turun sebab final di tanahair sendiri. Auranya pasti terbaik,” jelasnya.
Sementara itu seorang penyokong setia dari Pahang, Azli Halim berpendapat sasaran pingat emas boleh dicapai kerana skuad kali ini nampak seimbang di semua posisi.
“Pendapat saya skuad sukan sea kali ni lebih seimbang, lebih ampuh dengan kemasukan 6 pemain baru yagn dipanggil oleh Ong kim swee. Rata-rata pemain skuad sukan sea kali ni bermain banyak game dengan kelab masing-masing. Sasaran pingat boleh dicapai. Thailand/Vietnam dan Indonesia masih lagi menjdi pencabar terkuat buat mlysia kali ni,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pencabar terkuat Malaysia dalam saingan memburu pingat emas, seorang penyokong setia dari Pulau Pinang, Roziemie Shazree berpendapat Thailand merupakan pencabar utama yang mampu mengugat impian Malaysia untuk mengapai pingat emas.
“Thailand merupakan pasukan yang kuat, 2 kali rekod pertemuan terkini Malaysia tewas kepada mereka dengan jumlah yang besar pada kelayakan AFC U23 dan juga kejohanan Piala Dubai beberapa bulan lalu,” katanya.
“Cabaran dalam kumpulan A boleh dikatakan sedikit selesa berbanding kumpulan B. Tetapi jangan pandang mudah dengan Myanmar dan Brunei. Saya yakin dengan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah, dengan kualiti pemain yang sedia ada, Malaysia mampu mara ke final dengan syarat tidak jumpa Thailand di separuh akhir,” jelasnya.
Selepas Brunei, skuad Ong Kim Swee akan menentang pasukan Singapore pada rabu ini sebelum direhatkan sempena upacara pembukaan Sukan SEA pada hari Sabtu ini.