Liga Super Malaysia

“Fahami isu dahulu sebelum buka gelanggang bertarung” – Nasihat Khalid Ali kepada Kapten Selangor

Baru-baru ini kecoh tentang isu diantara Kerajaan Negeri Selangor dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkaitan penajaan, penggunaan stadium dan bayaran bonus yang tidak diselesaikan.

Dalam satu komen di laman Instagram YB Amirudin Shari, Exco Sukan Negeri Selangor juga bekas pengurus pasukan yang memaparkan posting berkaitan kerjasama penambahahbaikan stadium kemudian muncul satu komen daripada kapten Pasukan Selangor iaitu Razman Roslan yang tiba-tiba menuntut pembayaran bonus oleh Kerajaan Negeri.

Bekas pemain Selangor, Khalid Ali bertindak menegur dan meminta kapten pasukan Selangor itu tidak jadi alat politik dan hanya menumpukan aksi di atas padang.

“Saya ingin bertanya kepada Razman Roslan, sekiranya pemain menandatangani kontrak dengan FAS dan menerima “sumbangan” kerajaan negeri wajarkah pemain menuntut bonus kepada kerajaan negeri?”

“Jika kerajaan negeri bertanggungjawab untuk membayar bonus kenapa pemain tidak menuntutnya melalui mahkamah? Adakah Razman Roslan tidak memahami kandungan politik dan menjadi alat permainan politik?”

“Suka saya menasihatkan Razman agar memahami isu dahulu sebelum membuka gelanggang bertarung. Kami tidak mahu melihat lilitan ketua pasukan di lengan kiri anda digunakan untuk memuaskan kehendak politik sesetengah pihak. Menjadi satu kewajipan segala gaji dan bonus pemain dibayar oleh majikan, dimana Dato’ Seri Azmin Ali dan YB Amirudin Shari bukan lagi majikan The Red Giants malah telah menarik semula tajaan Kerajaa Negeri.”

“Tumpukanlah aksi pasukan di atas padang, takkan lah kita berpuas hati setakat berada lebih tinggi daripada PKNS FC? Itu sahajakah level pasukan Merah Kuning? Perjalanan berbaki tidak banyak lagi untuk mencapai sasaran terbaik.”

“Janganlah kerana buta kontrak, tugas awak sebagai kapten yang bermaruah hanya jadi budak suruhan yang menyedihkan. Bermainlah demi lencana didada bukan populariti di mata majikan awak.”, tegas Khalid Ali.

Pendapat Football Tribe Malaysia

Dalam bolasepak Malaysia, selalunya pihak pengurusan akan menjanjikan bonus sebelum perlawanan penting seperti perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia. Contoh: “kalau pasukan menang Piala Malaysia, pihak pengurusan menjanjikan akan bayar bonus RM50,000 kepada setiap pemain”.

Pada pendapat kami, janji pihak pengurusan tersebut sekadar janji lisan iaitu sekadar janji mulut, yang tidak termaktub dalam kontrak pemain. Inilah masalah sebenar bola sepak Malaysia yang sentiasa berlaku setiap tahun.

Bagaimana mahu rujuk ke mahkamah jika kontrak pembayaran bonus pun tiada. Hendak tuntut melalui mahkamah pun tidak boleh kerana kontrak tidak ada. Akhirnya terpulanglah kepada belas ihsan dan harapan agar janji mulut ditunaikan.

Sebab itulah pentingnya kontrak agar tidak timbul terlalu banyak persoalan.

Kami juga mendapati tindakan Kapten Selangor, Razman Roslan berhubung melalui media sosial adalah tidak professional dan akan mengundang pandangan negatif dalam kalangan penyokong. Dia sepatutnya menggunakan saluran yang betul.