Malaysia

Skuad Malaysia U22 tamatkan jelajah China dengan kemenangan

Skuad Malaysia U22, kendalian Datuk Ong Kim Swee menamatkan siri perlawanan persahabatan di China dengan nota kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan simpanan kelab Liga Super China, Guangzhou Evergrande FC 3-0, semalam. Sebelum ini skuad Ong Kim Swee tewas tipis 1-0 kepada China U22 pada perlawanan persahabatan pertama di Xiangtan pada 10 Jun lalu sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan simpanan Guangzhou R&F FC 2-2, petang kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou, petang tadi, skuad Malaysia U22 mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew sebelum menambah dua lagi gol pada penghujung babak kedua menerusi Syafiq Ahmad dan N Thanabalan. Ong Kim Swee melakukan enam pertukaran berbanding kesebelasan ketika bertemu Guangzhou R&F FC dengan kembali mempertaruhkan tonggak utama seperti kapten, Adib Zainudin, Syamer Kutty Abba dan Syazwan Andik Ishak selain meletakkan penjaga gol Haziq Nadzli, Tommy Mawat Bada dan Sean Eugene Selvaraj.

Aksi skuad Malaysia U22 ketika bertemu Guangzhou Evergrande semalam. Gambara dari FAM

Skuad Projek Sukan SEA 2017 ini akan berlepas pulang ke tanah air, tengah hari ini dan menyambung kem latihan pusat untuk satu lagi perlawanan persahabatan terakhir bertemu pasukan Liga Super Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 22 Jun ini sebelum pemain dilepaskan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Datuk Ong Kim Swee memuji prestasi anak buahnya sepanjang jelajah di China.

“Matlamat kita untuk ke China melalui beberapa perlawanan persahabatan bagi saya telah tercapai seperti saya inginkan di mana pertama, saya dapat melihat kesemua pemain yang diturunkan beraksi dan hari ini apabila bermain dengan Guangzhou Evergrande, saya menurunkan kesebelasan terbaik kecuali kita mempunyai beberapa (masalah) kecederaan yang tidak begitu serius seperti S Kumaahran dan Syahmi Safari yang tak dapat diturunkan.”

“Namun, pemain yang diturunkan membuktikan mereka boleh beraksi dengan cukup baik terutama tidak dibolosi pada separuh masa kedua, membuktikan juga kita mampu bermain dengan lebih baik terutama gerakan-gerakan di hadapan pintu gol yang cukup efektif,” jelas Ong Kim Swee

Malaysia U22 akan bertemu pasukan Melaka United

 “Jelajah China ini memberi banyak pandangan yang perlu saya lakukan apabila kita kembali ke tanah air nanti tetapi kemenangan ini bukan bermakna kita telah mencipta satu kejayaan cukup baik kerana bagi saya ini masih lagi dalam satu proses pembinaan dan yang penting kita perlu kekalkan prestasi kita, memperbaiki lagi kelemahan sebelum kita bermain dengan Melaka United pada 22 Jun nanti. “

“Saya percaya pasukan paling kuat kita beraksi adalah skuad B-22 China dan juga dua perlawanan bertemu Guangzhou R&F  dan Guangzhou Evergrande ini merupakan pasukan cukup baik di mana mereka memberikan kita saingan cukup padu terutama daripada segi fizikal.”

“Mungkin saya boleh katakan pemain-pemain ‘core’ (utama) kita dikenalpasti sepanjang tiga perlawanan di sini, namun kita masih lagi mempunyai masa selama sebulan sebelum Kelayakan B-23 AFC di mana sambung latihan di Kuala Lumpur dan satu perlawanan persahabatan dengan Melaka dan selepas itu kita akan panggil semula (pemain-pemain) pada awal Julai untuk persediaan kita dalam Kelayakan B-23 AFC,” katanya.