Berita

Jurulatih Buriram United Letak Jawatan, Penyokong Mahu Kiatisuk Senamuang

Jurulatih Buriram United, Ranko Popovic telah meletakkan jawatannya selepas rayuan kepada keputusan digantung tugas selama 3 bulan dan denda TBH40,000 oleh FA Thailand akibat insiden menampar pegawai fisio Bangkok United ditolak.

Bertanggungjawab kepada Insiden
Ranko Popovic menegaskan beliau tidak bersalah dan kecewa dengan keputusan itu. Beliau memutuskan untuk meletakkan jawatannya kerana tidak dapat bertugas selama 3 bulan serta bertanggungjawab kepada insiden tersebut.

Menurut sumber dari Bangkok Post, Buriram United sedang giat mencari penganti kepada Ranko Popovic sebelum saingan liga bermula tidak lama lagi.

Penyokong Buriram United Mahu Kiatisuk Senamuang
Maklum balas dari penyokong-penyokong Buriram United melalui komen di laman sosial Facebook menunjukkan, mereka mahukan pengerusi Buriram United, Newin Chichob mengambil bekas ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang untuk mengisi jawatan itu.

Kiatisuk Senamuang yang masih tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana pasukan sejak mengumumkan perletakkan jawatannya dari FA Thailand Mac lalu, kini sedang mengikuti kursus kejurulatihan peringkat tertinggi di Korea Selatan.