Liga Super Malaysia

JDT nafi cari pengganti Farizal Marlias

Pasukan Johor DT hari ini membuat kenyataan tidak akan menggantikan penjaga gol mereka, Farizal Marlias dengan pemain lain. Pengarah sukan JDT, Alistair Edwards berkata Farizal Marlias masih kekal dalam pasukan dan mereka tidak akan menggantikan dengan sesiapa.

“Kami ingin tegaskan disini bahawa JDT tidak akan menggantikan penjaga gol, Farizal Marlias dengan sesiapa kerana Farizal Marlias tetap berada didalam pasukan kami,” katanya.

Beliau juga menafikan khabar angin mengenai kemasukan penjaga gol baharu ke dalam pasukan JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

“Jangan sesekali percaya kepada laman tidak rasmi yang hanya mahu menimbulkan cerita sensasi yang tidak sahih. Tiada penjaga gol baharu dalam perancangan JDT. Ini kerana kami mempunyai dua lagi penjaga gol yang berpotensi tinggi dan bagus iaitu Izham Tamizi dan Muhammad Haziq,” jelas beliau. 

Baru-baru ini terdapat khabar angin di laman sosial mengenai perpindahan penjaga gol kedah, Ifwat Akmal ke pasukan JDT bagi menggantikan Farizal Marlias yang dihukum gantung oleh AFC selama 12 bulan. Sumber berkenaan turut menyebut bapa Ifwat berada di Johor dan wakil JDT pula berada di China bagi mempercepatkan proses menandatangani kontrak sebelum tarikh tutup perpindahan.

Namun begitu, salah seorang daripada netizen melaporkan khabar angin tersebut adalah tidak benar kerana bapa Ifwat sebenarnya sudah lama meninggal dunia.