Berita

Milovan Rajevac Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baru Thailand Dengan Gaji RM253,000

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Somyot Poompunmaung, telah secara rasmi mengumumkan ketua jurulatih baru pasukan kebangsaan Thailand sebentar tadi.

Selepas mengambil kira pelbagai faktor, Milovan Rajevac dari Serbia dipilih untuk menggantikan tugas yang telah ditinggalkan oleh Kiatisuk Senamuang itu. Bekas jurulatih skuad Ghana itu telah dijangka akan mengisi kekosongan itu beberapa hari lalu mengikut laporan media dari Thailand.

Bukan Pilihan Utama

Presiden FAT, sebenarnya mahu mengambil ketua jurulatih Muangthong United, Totchtawan Sripan sebagai calon utama namun disebabkan prestasi cemerlang Muangthong United dalam saingan AFC Champions League dan dalam misi mempertahankan kejuaraan Thai League 1, Somyot Poompunmaung merasakan ia bukan masa yang sesuai.


Faktor Utama Pemilihan
Selepas menerima pelbagai permohonan dari beberapa jurulatih terkemuka dunia seperti Dunga, Zico dan Frank Rijkaard, Presiden FAT tidak sekadar melihat status ‘glamor’ sebagai kriteria utama pemilihan.

Faktor gaji ‘rendah’ yang diminta oleh Rajevac berbanding calon lain juga dilihat sebagai faktor utama pemilihan disamping pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan seperti Ghana, Qatar dan Algeria.

Menurut Pengarah teknikal FAT, Witthaya Laohakul, 3 calon terakhir yang disenarai pendek termasuk Milovan Rajevac adalah Marcos Paquetta dan Winfried Schafer berdasarkan faktor gaji dan ‘track record’ membawa pasukan di Piala Dunia.

Sebuah media Thailand juga melaporkan gaji yang diminta oleh Milovan Rajevac adalah sama seperti apa yang diterima oleh Kiatisuk Senamuang, iaitu sekitar THB 2 juta / RM253,000!