Liga Super Malaysia

Krisis Bola Sepak Selangor: Zainal Abidin Atau FAS Yang Bersalah Sebenarnya?

Selepas Mehmet Durakovic menjulang Selangor meraih Piala Malaysia pada musim 2015, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membuat keputusan mengejut dengan menamatkan kontrak Mehmet yang masih berbaki sehingga November 2016.

Zainal Abidin Hassan dibawa masuk.

Adakah Selangor mahukan 4 pemain bereputasi besar dari Zainal Abidin Hassan sendiri? Ini berdasarkan dari pemain-pemain skuad Selangor 2016 yang kelihatan agak kekurangan pemain, ditambah pula pasaran pemain tempatan agak terhad.

13895080_1182708451750772_3099618770634685081_n

Dengan memilih Zainal ini bermakna Selangor akan memiliki 4 pemain besar dengan mudah tetapi perlu berdepan dengan penyokong yang masih mahukan Mehmet kekal berdasarkan apa yang telah dicapai musim sebelumnya.

Zainal hadir dengan penuh tekanan sejak hari pertama melapor diri lagi. Tiada yang mudah baginya disana dan paling nyata adalah jika beliau tidak menyamai pencapaian Mehmet adalah satu bencana.

13939408_1182708418417442_7870632540590470203_n
Kedudukan carta Liga Super sebelum Zainal Abidin Hassan dipecat dan jumlah ketua jurulatih dipecat dalam musim 2016.

Mereka bermula dengan baik disaingan  Liga Super dengan statistik kelas pencabar kejuaraan, 10 mata dari 5 perlawanan awal (3 menang, 1 seri dan 1 tewas). Namun Selangor tersingkir awal pada saingan Piala FA di pusingan kedua apabila tewas 1-2 ditangan Fauzi Pilus yang membimbing PDRM. Dan PDRM membuat kemaraan sehingga ke separuh akhir.

Selain dari itu juga, Selangor bergelut dalam memberikan cabaran dalam kejohanan Piala AFC dan pada penentuan perlawanan terakhir iaitu ke-6, Tampines Rovers menunjukkan jalan keluar untuk Zainal. Hanya 8 mata (2 menang, 2 seri dan 2 tewas) dalam kumpulan tidak memadai untuk membawa cabaran Selangor ke peringkat seterusnya.

Dalam aksi Liga Super Zainal mengalami sedikit penurunan, dimana hanya mampu meraih 8 mata dari 5 perlawanan kedua (2 menang, 2 seri, dan 1 tewas).

Tekanan Makin Memuncak

Jika mengikut semua pertandingan, pada perlawanan ke-7 hingga ke-12 adalah masa paling sukar baginya. Mencatat hanya satu kemenangan dari 6 perlawanan dan  tewas empat kali.

Tetapi FAS tidak lagi memberi peluang apabila Zainal kembali buntu pada perlawanan ke-23 hingga ke-28. Tanpa menang dalam 6 perlawanan dan tewas 4 kali berturut-turut.

  1. Selangor 3-3 Kelantan (Piala Malaysia)
  2. Selangor 1-1 P.Pinang (Liga Super)
  3. Selangor 1-2 Felda Utd (Liga Super)
  4. Selangor 0-1 Pahang (Piala Malaysia)
  5. Selangor 0-1 T Team (Liga Super)
  6. Selangor 0-1 Kedah (Liga Super)

Siapa yang bersalah? Zainal Abidin atau FAS sebenarnya?

Skuad Selangor yang dibawa oleh Zainal terlalu kecil untuk mengharungi 4 pertandingan. Zainal telah menggunakan hampir keseluruhan skuadnya. Dan apabila Azrif dilepaskan kepada JDT,  bermakna skuadnya semakin mengecil. Sedangkan Azrif sangat diperlukan, dan kadar penggunaan Azrif adalah 94%.

13934920_1182708358417448_7997807895767402662_n
Empat pemain bernama besar yang dibawa masuk oleh Zainal Abidin Hassan ke skuad Selangor untuk musim 2016.

 

Olivi langsung tidak menyamai impak yang ditinggalkan Guilherme, manakala Patrick Ronaldinho Wleh mempunyai agak baik. Robert Cornthwaite pula masih dalam krisis kecederaan ketika itu, dan Andik pula tidak konsisten. Skuad Zainal terlalu lesu dan kepenatan sebelum separuh musim.

Tahukah anda bahawa Shahrom Kalam digunakan secara total 100% pada ketika itu?

Dan apabila Selangor menjadi pasukan ketujuh di Liga Super memecat jurulatih, adakah ini masa yang tepat untuk mencari pengganti Zainal? Selangor akan menghadapi 5 perlawanan di hadapan dengan jadual padat. Cuma berselang 3 hingga 4 hari sahaja

  1. 09/08 Selangor  v Pahang (Piala Malaysia)
  2. 12/08 Selangor v Kelantan (Piala Malaysia)
  3. 16/08 Selangor v Terengganu (Liga Super)
  4. 20/08 Selangor v K.Lumpur (Piala Malaysia)
  5. 24/08 Selangor v Pahang (Liga Super)

Sama ada Selangor akan menamatkan musim 2016 dengan penolong jurulatih atau mencari ketua jurulatih baru, ia kelihatan seperti sudah  terlambat. Jika ada ketua jurulatih baru tampil semestinya harus ‘berpakej’ untuk musim 2017.

Apakah dengan menamatkan kontrak Mehmet itu satu tindakan tepat dan menyingkirkan Zainal pada masa yang salah itu tepat ? Zainal mungkin tidak diperlukan seawal musim atau ditamatkan sebelum liga berhenti di tengah musim kerana disana ada ruang masa yang banyak untuk pembetulan. Dan FAS perlu membuat keputusan yang tepat seperti Mehmet atau Zainal diawal musim lagi.

13729124_1182708578417426_1635918702189815003_n
Graf keputusan melalui defisit gol Selangor dalam semua pertandingan di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan.

Agak rugi jika pasukan Selangor terkeluar dalam saingan Piala Malaysia. Mereka merupakan pasukan paling berjaya dalam kejohanan ini dan mempunyai penyokong yang ramai. Sudah pasti sesiapa yang menggantikan Zainal akan mengalami kesukaran kerana faktor jadual sedang padat dan hampir ketiadaan masa membentuk gandingan baru dan sebagainya.