Sukan SEA

Thailand yakin ibu pingat emas Sukan SEA jadi milik mereka

Skuad Thailand sudah tiba di Kuala Lumpur semalam. Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, mereka terus turun menjalani latihan ringan pada sebelah petang. Thailand hadir dengan misi untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi oleh mereka 2 tahun lalu.

“Kami datang semula ke sini untuk memenangi pingat emas,” tegas jurulatih skuad bawah 22 tahun Thailand, Worrawoot Srimaka yang memberi amaran kepada pencabarnya supaya melupakan hasrat untuk merampas kejuaraan daripada mereka.

Skuad juara bertahan itu memburu gelaran hatrik serta kejuaraan ke-16 keseluruhan sejak 1959, dan Worrawot tampak begitu yakin dengan barisan pemainnya kali ini.

“Kami masih dalam proses untuk membiasakan diri dengan keadaan padang di sini. Kualiti padang di Malaysia sangat berbeza dengan kualiti padang di Thailand. Rumput lembunya lebih panjang dan kasar”

“Kami sudah membuat persediaan rapi selama seminggu sebelum datang ke sini. Saya yakin dengan pasukan yang dibentuk ini, kami boleh memenangi pingat emas.

“Bagi saya, semua pasukan dalam Kumpulan B bagus dan boleh memberikan tentangan hebat kepada kami.

“Dan kami tahu kemampuan semua pasukan, sama dengan pasukan lain yang mengetahui kemampuan kami,” katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Bekas pemain import Kelantan ini bagaimanapun turut berwaspada dengan ancaman pasukan tuan rumah, Malaysia jika kedua-dua pasukan berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan dan bertemu di separuh akhir.

“Kami menang ke atas Malaysia 3-0 di Bangkok pada kelayakan AFC (B-23) sebelum ini tetapi saya fikir Malaysia tidak memberikan persembahan terbaik.”

“Saya fikir perlawanan akan lebih sukar jika kami bertemu sekali lagi di sini,” kata Worrawoot.

Skuad Gajah Perang ini akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang Indonesia di Stadium Shah Alam, pada Selasa ini.